Konsert dan filem dokumentari terbitan Shiraz Projects tersebut merangkumkan perjalanan Siti dalam ketiga-tiga konsert jelajahnya yang berlangsung di Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur.

Menurut pengurus Siti, Rozi Abdul Razak, dokumentari berkenaan akan menceritakan momen belakang tabir serta perjalanan konsert penyanyi tersebut. 

“Dokumentari ini adalah kesinambungan konsert jelajah yang menunjukkan kisah di belakang tabir, persediaan bermula dari konsert di Jakarta sehinggalah di Kuala Lumpur. 

“Penggambaran memang tiada skrip atau pelan jangkaan (story board). Kamera rakam momen-momen konsert secara spontan. Segala penat lelah persediaan menjelang konsert divisualkan melalui dokumentari filem ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Ditanya bila filem dokumentari tersebut akan menjengah pawagam, Rozi berkata, itu semua terpulang kepada penganjur konsert yang turut bertindak sebagai penerbit projek tersebut. 

“Saya difahamkan apabila konsert semua sudah selesai, barulah filem tersebut akan menjalani proses suntingan, pos-produksi dan sebagainya. 

“Bila filem itu akan ditayangkan di pawagam, kita serahkan urusan itu kepada Shiraz Projects,” jelas Rozi.

Selepas Jakarta, konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 akan diadakan di Singapura pada 2 Mac (esok) disusuli Kuala Lumpur pada 16 Mac. - K! ONLINE