ZARA ZYA
ZARA ZYA

Diva enggan bersikap berat sebelah, tambahan pula memang ramai pelakon yang berbakat dan memiliki vokal berkualiti.

Cuma, penerimaan khalayak terhadap pelakon bergelar penyanyi tidak sebegitu positif berbanding penyanyi yang tiba-tiba berlakon. Diva pun tidak tahu mengapa situasi sedemikian terjadi sejak sekian lama.

Jadi berbanding hendak bertekak dengan Honey berhubung perkara itu, Diva cuma tersenyum dan diamkan saja apa yang diperkatakannya ketika itu.

Sebaik mendapat tahu Zara kini sudah memiliki single pertama berjudul Tiada Dendam, Diva apalagi terus tergesa-gesa mendengar lagu itu yang sudah mula dilancarkan di beberapa platform digital bermula kelmarin.

Ternyata, telahan awal teman Diva, Honey mengenai kemampuan sebenar Zara boleh menyanyi ataupun tidak sememangnya jauh meleset. Boleh tahan juga suara Zara, melodi lagu tersebut juga cukup indah di telinga.

Setelah dirisik, boleh tahan juga kredibiliti pencipta lagu berkenaan. Diva dengar bukan calang-calang juga orangnya, malahan lagu ciptaannya juga pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) tau.

Wah, beruntunglah Zara apabila berjaya mendapat sentuhan komposer hebat meskipun baru pertama kali bergelar penyanyi.

Apapun, Diva percaya Zara sudah bersedia untuk menghadam setiap bentuk kecaman netizen yang pasti mempertikaikan kemampuannya berbanding penyanyi lain. Diva harap, karier Zara sebagai penyanyi turut bersinar seperti mana kariernya sebagai seorang pelakon.

Diva: Diva selalu menyanyi di dapur walaupun dilarang emak kerana khuatir mendapat jodoh orang tua. Masalahnya sampai sekarang Diva belum bertemu jodoh, emm alahai.