Kalau mengikut pembacaan dan pemahaman Diva, pelakon kontroversi itu menulis dengan nada kecewa dan marah. Bukan apa, Fathia ada menyatakan mengenai bayaran yang belum diterimanya sejak beberapa tahun lalu selepas melunaskan sebuah projek komersial untuk stesen televisyen terbabit.

Bukan itu sahaja, Fathia juga mendakwa ada individu yang bekerja dalam stesen televisyen berkenaan cuba menabur fitnah tentang dirinya sehingga dia dianggap bermasalah.

Pada masa sama, Fathia juga menyatakan kekecewaan kerana stesen berkenaan sehingga kini memulaukan namanya untuk drama dan telemovie siaran mereka.

Namun, Diva tak pasti siapa yang betul dan siapa yang salah. Bukan apa, sebelum ini Diva banyak dengar mengenai masalah disiplin pelakon jelita itu yang mana dia dikatakan selalu menimbulkan masalah di lokasi.

Diva harap, Fathia dapat selesaikan isu tersebut dengan baik tanpa menguar-uarkannya di Instagram. Bagaimanapun, Diva juga perasan yang Fathia sudah memadamkan luahan hatinya itu di Instagram.

Semoga isu yang melanda Fathia dan stesen TV berkenaan selesai. Sayang sekiranya bakat dan wajah cantik yang dimiliki Fathia dipersia-siakan. Harap Fathia lebih fokus karier seni dan tidak lagi mencari kontroversi semata-mata okey.

Diva: Boleh ke Munafik 2 mengatasi kutipan Hantu Kak Limah? Apa-apapun Diva suka dengan perkembangan industri filem sekarang.