Kata Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson, 24, perkara itu berlaku sewaktu dirinya berusia 12 tahun melalui SMS (khidmat pesanan ringkas). 

"Masa itu saya kecil lagi dan selalu menghadiri acara Bintang Kecil. Ketika itu mana tahu tentang privasi jadi saya kongsi nombor telefon peribadi kepada kawan-kawan yang ada dekat situ. 

"Entah macam mana, suatu hari saya terima SMS daripada seseorang yang tidak dikenali. 

"Dia ugut yang dia tahu siapa saya, tahu dekat mana saya tinggal. Satu hari nanti, dia akan rampas saya daripada keluarga dan rogol saya sampai mati," kata wanita berwajah pan-Asia itu ketika ditemui Kosmo! Online di set penggambaran filem terbaharu lakonannya, J Retribusi di sini malam tadi. 

Katanya, disebabkan pernah berdepan dengan perkara seperti itu memberi kekuatan buat dirinya mengharungi segala tohmahan dan cacian netizen di sosial media yang amat mencabar dewasa ni. 

"Pengalaman ketika kecil itu membuatkan saya cukup terlatih untuk berdepan dengan kritikan netizen. 

"Saya tidak kisah apa yang orang ingin cakap pasal saya tapi jangan sentuh apa-apa berkaitan keluarga," ujar Amelia yang melakonkan Amy dalam J Retribusi. 

Mengulas sedikit tentang pertikaian isu kewarganegaraan yang tercetus di ruangan komen Instagram apabila dia memenangi anugerah Asia Model Awards bagi kategori Model Asia di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini, Amelia  berkata, dia tidak berkecil hati dengan hal itu. 

"Saya tidak kecil hati. Tapi kalau orang cakap saya bukan orang Malaysia, saya boleh tunjuk sijil kelahiran atau passport. 

"Malaysia adalah sebuah negara yang hebat dan saya bangga menjadi salah seorang rakyat negara ini. Negara kita saya kaya dengan pelbagai bangsa, budaya dan adat resam. 

"Sesetengah orang gagal menghadam fakta ini hanya kerana rupa saya 'tidak Melayu'. Bukan saya ingin bergaduh di sosial media tetapi ingin membetulkan tanggapan bahawa Malaysia itu indah dengan pelbagai jenis orang berlainan bangsa," getus Amelia. 

Selain Amelia, J Retribusi tang merupakan sekuel filem J Revolusi dijayakan pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin sebagai J Zulkarnain, Datuk Rosyam Nor (Datuk Hashim), Ashraf Sinclair (Taufik) dan pelakon yang diterbangkan dari China, Chen Yi Ming sebagai Chang. 

Filem terbitan Primeworks Studios dan Infinitus Production yang menelan kos pembikinan lebih RM5 juta ini dijangka ditayangkan di pawagam pertengahan tahun hadapan. - K! ONLINE