Ternyata bait-bait lagu, ‘Kembara berjalan bersendirian, Mencari jalan pulang, Bilakah masanya embunkan menjelma, Di tanah gersang yang membakar…’ bertajuk Kembara Di Tanah Gersang yang sering kali berkumandang di radio sekitar tahun 1979 masih diingati. Sebenarnya apa cerita terbaharu dan perkembangan kumpulan tersebut? Apakah mereka akan merakamkan lagu-lagu baharu? Apakah kumpulan ‘otai’ atau legenda nasyid itu akan kembali mewarnai landskap nasyid tempatan?

Cuba mengubati kerinduan peminat terhadap suara lunak merdu mereka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan program Dimensi Legenda pada 22 Ogos ini, pukul 10 malam di TV1 yang menampilkan anggota kumpulan Al-Jawaher berkongsi pentas dengan artis lain termasuk kumpulan Raihan, Aris Ariwatan, Lah Ahmad dan Raqib Majid.

Menampilkan Raja Azura sebagai hos bergandingan bersama Ustaz Fuad Mohktar sebagai selebriti undangan, rancangan hiburan santai yang disiarkan sempena Hari Raya Aidiladha ini mengangkat tema pengorbanan yang dilihat bertepatan dengan penyampaian lagu-lagu malar segar bergenre ketuhanan.

Diiringi tarian daripada kumpulan Alam Dancers, semua persembahan merupakan lagu-lagu ketuhanan dan kemanusiaan. Lagu-lagu malar segar yang masih diingati dan bakal dipersembahkan termasuklah Kembara Di Tanah Gersang, Perjalanan, Permaidani, Doa, Penantian, Puji-Pujian, Syukur, I’ktiraf dan Haji Menuju Allah.

Program yang diterbitkan oleh Ain Sabrina On, Unit Hiburan TV RTM itu telah dirakamkan pada 21 Julai lalu bertempat di Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Penonton boleh mengikuti siaran ulangan program itu pada 26 Ogos, pukul 9 malam di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV1, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan itu juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.