Menampilkan beberapa pelakon berkarisma seperti Wawa Zainal, Sherie Merlis, Sharisa Haris, Fiena Tajudin dan Nadzmi Adhwa, telefilem arahan Nizam Abdul Rahman mengangkat kisah perjuangan tiga wanita yang berhasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat van pengangkutan khusus untuk pekerja wanita selepas mereka diberhentikan kerja.

Nadzmi berkata, dia teruja berlakon dalam telefilem berkenaan kerana mencabar kemampuannya untuk memberikan mutu lakonan yang terbaik buat penonton.

“Sebagai seorang mekanik dalam telefilem ini, saya perlu sentiasa bersahaja ketika melontarkan dialog selain mempamerkan lakonan yang tidak dibuat-buat supaya sentiasa nampak natural di depan kamera.

“Selain membuat sedikit penyelidikan bagi menghidupkan watak ini, saya juga berharap supaya mesej positif yang cuba disampaikan menerusi telefilem ini berjaya disampaikan kepada penonton,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Menurut Nadzmi, secara peribadinya dia amat kagum dengan kegigihan golongan wanita berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan seperti mana yang dipaparkan dalam telefilem Ladies Cab.

“Tanggapan skeptikal segelintir khalayak yang bersikap berat sebelah terhadap perbezaan jantina juga wajar diperbetulkan kerana zaman sudah berubah,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu, Nizam memberitahu, pihaknya tidak berdepan masalah berbangkit ketika menjayakan sesi penggambaran telefilem Ladies Cab sebelum ini.

“Saya juga teruja kerana setiap pelakon memberikan sepenuh komitmen ketika menjayakan sesi penggambaran tempoh hari,” ujarnya.

Telefilem Ladies Cab mengisahkan dua sahabat, Dibah dan Dina yang diberhentikan kerja gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan majikannya terhadap pekerja di syarikat berkenaan.

Mereka kemudian bertemu Amy, seorang penganggur yang terlebih dahulu meletakkan jawatan di sebuah syarikat selepas mengetahui majikannya tidak jujur ketika menguruskan peniagaan.

Disebabkan itu, mereka bercadang untuk menubuhkan sebuah syarikat van pengangkutan khusus untuk pekerja wanita semata-mata.

Cuma, konflik bermula apabila majikan Dina mengugut supaya tidak meneruskan bisnes tersebut kerana dikhuatiri bakal memberikan persaingan terhadap perniagaan sedia ada.

Keputusan Dina untuk meletakkan jawatan juga memburukkan keadaan memandangkan dia merupakan satu-satunya pemandu van di syarikat berkenaan.

Apakah kesudahan telefilem ini? Jangan lupa saksikan telefilem Ladies Cab pukul 10 pagi ini hanya di TV1.