Malah, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohamad berkata, ia berlaku kerana ramai pihak hilang kepercayaan kepadanya selepas dia berdepan saman bernilai RM400,000 yang difailkan Rafiena.

“Sebelum kejadian, ada produksi yang sudah menawarkan saya mengacara program televisyen selama 13 episod tetapi sehari sebelum itu nama saya digugurkan secara tiba-tiba.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa ia berlaku. Tetapi secara jujurnya kejadian ini menjejaskan reputasi saya. Malah, orang yang membaca berita pada ketika itu pun menjatuh hukum dengan mudah apabila mengatakan saya disaman, sedangkan prosiding masih belum bermula,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kemenangannya melawan saman tersebut di Bonda Cafe, Taman Dagang Avenue di sini sebentar tadi.

Pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor telah menolak saman sivil Rafiena dan syarikat Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. terhadap Didie dengan kos RM10,000.

Hakim telah memutuskan plaintif-plaintif telah gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan dan saman guaman tersebut ditolak.

Dalam pada itu, Didie menyifatkan kemenangan tempoh hari sudah membersihkan namanya sebagai artis dan ibu daripada isu yang menjejaskan dirinya.

“Saya tidak pernah ada niat untuk menyakitkan hati sesiapa selama ini. Cuma apabila kes ini berlaku, ia sudah membusukkan nama saya sebagai artis dan ibu.

“Ia juga menjadi pengajaran supaya tidak lagi membenarkan mana-mana pihak menggunakan atau memijak nama saya. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati sebelum bekerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya.

Perseteruan mereka berlaku selepas Rafiena  memfailkan saman ke atas Didie berikutan dakwaan berlakunya perlanggaran kontrak dan pengaiban terhadap dirinya.

Kes itu difailkan Rafiena di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor menerusi firma guaman Tetuan Zamri Idrus & Co.

Dalam tuntutannya, Rafiena menyatakan Didie sebagai bekas penerbit eksekutif sebuah rancangan travelog terbitan Dark Wave gagal menjalankan tanggungjawab menguruskan hal berkaitan penerbitan program itu sehingga plaintif mengalami kerugian. - K! ONLINE