Sejak muncul dalam filem Minah Moto pada tahun lalu, Dayana menjadi antara artis wanita yang dilihat gemar membabitkan diri dengan aktiviti sebegitu.

Dayana yang turut menyertai Kelab Sinar Permotoran Amatur Kebangsaan (Spark Malaysian Club) teruja kerana menerusi kelab tersebut dia mampu memainkan peranan untuk membantu kaum wanita demi membina masa depan lebih baik.

Ikuti penjelasan pelakon drama Cinta Fatamorgana itu ketika ditemui Kosmo! pada majlis sidang akhbar Karnival Spark Gathering & Jungle Town 2018 baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh terangkan sedikit tentang penglibatan Dayana dalam Spark Malaysian Club?

DAYANA ROZA: Saya dipilih menyertai program ini selepas terlibat dalam filem Minah Moto pada tahun lepas. Mungkin disebabkan saya pandai membawa motosikal, jadi Zul Huzaimy memilih saya mewakili kaum wanita.

Menerusi program tersebut, saya mendidik golongan wanita yang terlibat dengan aktiviti permotoran agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif. Contohnya, mereka akan didedahkan dengan perniagaan mengikut bakat dan kemahiran yang dimiliki masing-masing.

 

Apakah pandangan anda terhadap golongan yang suka dengan aktiviti permotoran?

Saya akui, pada mulanya turut mempunyai persepsi yang sama dengan orang lain seperti mereka jahat dan tidak baik. Jika boleh tidak mahu mendekati mereka. Namun, selepas menyertai penggambaran filem Minah Moto pada tahun lalu, saya berpeluang mengenali mereka.

Penglibatan dalam filem tersebut telah membuka mata saya bahawa mereka sebenarnya baik. Persahabatan mereka sangat kuat ibarat sebuah keluarga. Mungkin kerana mereka menunggang motosikal yang murah dan kerap berpeleseran, jadi masyarakat melabel mereka tidak berguna dan tiada pekerjaan. Walhal mereka mempunyai pekerjaan walaupun biasa-biasa.

Adakah penglibatan anda dalam Spark Malaysian Club mampu membawa mesej positif terhadap golongan mat motor?

Saya harap penglibatan saya mampu menukar persepsi buruk masyarakat terhadap golongan mat motor. Memang tidak dinafikan ada juga mat motor berperangai jahat, tetapi sama sahaja dengan orang lain yang bukannya mat motor. Oleh itu, jangan cepat menjatuhkan hukum dan melabelkan seseorang hanya kerana mereka membawa motor kapcai.

Boleh kongsikan pandangan anda apabila dilabel sebagai ikon ‘minah rempit’?

Sejujurnya saya tidak kisah pun sebab melakukan perkara yang baik. Saya menyeru dan membantu golongan mat motor membina kehidupan yang lebih baik pada masa depan. Sebab bagi saya, sampai bila masyarakat sekeliling mahu sisihkan mereka daripada mendapat perhatian.

Saya yang dahulunya takut untuk mendekati mereka berubah persepsi selepas masuk dalam dunia mat motor. Mat motor juga manusia biasa dan mempunyai sisi yang baik.

Bagaimana dengan perkembangan terkini karier seni anda?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telemovie berjudul Abang Hidung Merah untuk terbitan RTM. Dalam masa terdekat, saya akan menjalani penggambaran drama Suamiku Mr. Blind sebanyak 20 episod bersama rakan artis Zoey Rahman, Intan Najuwa dan Fadzil Zahari.

Benarkah anda bakal mengeluarkan produk jenama sendiri?

Betul, ia akan dikeluarkan pada bulan Disember ini.Saya mengeluarkan produk penjagaan kulit, Dermaganic dan akan dijual atas talian sahaja. Sejujurnya, saya masih trauma untuk berniaga selepas pernah ditipu oleh rakan kongsi ketika mengeluarkan produk semburan rambut.

Selepas mendapat sokongan kekasih, sekarang saya uruskan perniagaan sendiri tanpa rakan kongsi. Meskipun sibuk dengan perniagaan, kerjaya lakonan tetap diteruskan seperti biasa.