Jika ada yang masih ingat, Diana Danielle pernah muncul dengan single berjudul Terbaik nyanyian bersama kumpulan A-Ok yang dilancarkan pada tahun lalu.

Membuktikan minat untuk terus mencuba cabang lain dalam bidang seni, baru-baru ini pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu melancarkan sebuah lagi single baharu berjudul Infiniti.

Lebih istimewa, single berkenaan merupakan gabungan antara Diana dengan penyanyi dan komposer dari Singapura iaitu Reyza Hamizan serta kumpulan pemuzik Neonsoul.

“Sebenarnya lagu ini sudah diperam selama tiga tahun lalu, tetapi Reyza mahu menghasilkan sebuah lagu yang betul-betul berkualiti. Jadi, banyak perubahan dilakukan sepanjang tempoh itu.

Infiniti mengisahkan sebuah cinta yang tiada batasan dan boleh dianggap antara cinta kepada Yang Esa, keluarga atau pasangan,” kongsi Diana yang ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan baru-baru ini.

Ditanya apakah penambah baik yang dilakukan Reyza sehingga mengambil tempoh selama tiga tahun sebelum berpuas hati untuk dilancarkan, lelaki yang duduk di samping Diana itu tertawa kecil.

“Sebenarnya masing-masing mempunyai jadual yang padat tetapi dalam masa sama saya tetap mahukan hasil terbaik, jadi ia terpaksa diperam lama.

“Saya tidak akan buat pelancaran selagi lagu ini tidak sampai ke tahap yang dimahukan. Jadi antara perubahannya adalah dari segi kualiti bunyi, lirik dan persiapan vokal.

“Bahkan ketika ia dirakamkan semula buat kali ketiga, muncul pula idea untuk ditambah kolaborasi bersama kumpulan pemuzik Neonsoul,” terang Reyza panjang lebar.

Menambah bicara, Diana turut memberitahu, rakaman lagu untuk kali ketiga dilakukan kerana Reyza membeli sebuah mikrofon baharu yang mampu menghasilkan bunyi lebih sedap.

“Jika diikutkan lagu itu sudah siap dan hampir dilancarkan. Saya datang ke studio untuk membetulkan satu bahagian sahaja lagi, tetapi Reyza pula beritahu sudah membeli mikrofon baharu.

“Kami bersetuju untuk merakamkan semula. Lagipun, saya bukannya mahir dalam bidang muzik, jadi saya ikut sahaja saranan Reyza,” kata Diana.

Kepercayaan

Menyorot kembali detik yang membawa kepada kerjasama tersebut, kongsi wanita berusia 27 tahun itu, segalanya bermula dengan lagu Terbaik yang pernah diterbitkan dahulu.

Lagu berkenaan merupakan ciptaan Reyza dan disebabkan wujud keserasian, mereka bersetuju untuk menampilkan sebuah single secara bersama.

“Saya memang minat bernyanyi tetapi dalam masa sama mempunyai rasa inferior dan sering beranggapan tiada siapa mahu memberikan lagu untuk saya.

“Ketika itu, rasanya perlu untuk mencari komposer yang boleh mempercayai saya, kebetulan Reyza mempunyai lagu, jadi kami pun setuju untuk bekerjasama,” katanya.

Menyentuh tentang peningkatan kualiti vokal milik Diana yang dilihat semakin baik, tanpa berselindung pelakon Gol & Gincu itu memberitahu telah hadir ke kelas vokal berguru dengan Cikgu Sarah Ismail dan penyanyi Idayu.

Kongsinya juga, dia sudah mempunyai beberapa lagu yang bakal dirakamkan sebelum melancarkan sebuah album penuh pada pertengahan tahun hadapan.

“Menyanyi juga seperti berlakon yang memerlukan latihan secara berterusan. Saya belajar vokal, mendengar pelbagai genre lagu dan membiasakan diri berlatih dalam studio.

“Harap tahun 2019 adalah tahun muzik untuk saya. Sebenarnya, saya lebih minat menyanyi daripada berlakon, tetapi rezeki berpihak ke arah lakonan.

“Saya pernah terfikir untuk melupakan minat ini, tetapi setelah berjumpa dengan Reyza dan beberapa pemuzik lain, saya kembali bersemangat,” tuturnya yang sudah menulis lebih daripada 10 buah lagu.

Album

Diana turut berkongsi sudah menemui titik kepuasan untuk menghasilkan lagu yang sedap didengar. Penuh optimis, ibu kepada Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 2, itu berazam mahu menghasilkan muzik yang baik untuk peminatnya.

“Dahulu saya selalu tertekan untuk mencari lagu yang sedap, tetapi sekarang saya temui kepuasan dan keseronokan untuk menghasilkan muzik.

“Jika tiada halangan, bermula sekarang hingga bulan Jun tahun hadapan saya akan merakamkan lagu dan kemudian ingin melancarkan album,” kongsinya.

Ditanya, adakah album tersebut menampilkan semua lagu ciptaannya, Diana bagaimana mengakui tidak boleh terlalu mementingkan diri.

Ujarnya, jika diberi peluang dia mahu bekerjasama dengan ramai komposer berbakat seperti Kayda dan penyanyi rap Aman Ra.

“Saya banyak menghasilkan lagu berbentuk soul, jadi saya tidak boleh pentingkan diri dan menghidangkan hanya lagu sebegitu dalam album nanti.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai empat buah lagu bersama Alif Sleeq. Mulai tahun hadapan juga saya akan kembali menguasai teknik bermain biola untuk melengkapkan lagi kebolehan dalam mencipta muzik,” terang Diana yang sempat belajar bermain biola selama enam tahun.

Sebelum mengakhiri bicara, wanita itu sempat diajukan persoalan tentang kerjaya dalam bidang lakonan. Jawabnya sebelum menutup bicara:

“Pada 6 Disember nanti drama Raisha 2 akan ditayangkan di TV3 dan tahun hadapan saya akan masuk set penggambaran drama Raisha 3 pula. Terdapat juga tawaran lain tetapi ia tidak boleh dikongsi kerana belum dimuktamadkan lagi.”

Mahu terus membuktikan bakat dalam bidang nyanyian, Diana Danielle menyasarkan untuk melahirkan sebuah album pada tahun hadapan.