Penyanyi berusia 34 tahun itu mendedahkan hasratnya untuk menyambung pengajian kerana terkesan dengan sumbangan arwah bapa mertuanya yang merupakan bekas Naib Canselor UM, Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Abdullah Sanusi Ahmad. 

"Keinginan menyambung pengajian di universiti tertua dan terbaik di Malaysia ini turut didorong oleh kakak ipar saya yang menjadi pensyarah di sini," ujarnya yang sebelum ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. 

Pemilik nama sebenar Nur Fardilla Nadia Abu Bakar itu mengambil masa selama empat tahun bagi menamatkan pengajiannya. Dia memulakan pengajian pada 2014. 

Pelantun lagu Andai itu memilih tajuk kajian Stail Nyanyian Saloma Daripada Perspektif Vokal Klasikal Barat: Register (Vokal). 

"Vocal register atau penempatan vokal adalah satu elemen yang sangat penting dalam nyanyian ataupun teknik vokal. 

"Seorang vokalis tidak boleh memaksimakan kualiti dan jangkauan vokal, pembentukan posisi pita suara (vocal cord) atau kualiti ton tanpa menguasai vocal register. 

"Jadi saya cuba mengkaji bagaimana Seniwati Saloma menyanyikan lagu-lagu beliau sehingga menjadi malar segar sehingga kini," ujarnya yang sangat bersyukur kerana suaminya, Redza memahami hasratnya menyambung pengajian. - K! ONLINE