Menurut Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, penggabungan itu dilakukan untuk membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini terbabit dalam penganjuran acara tahunan itu secara meluas.

“Sebelum ini DFKL hanya tertumpu kepada stesen TV3 tetapi tahun ini pihak kami ingin membuka platform lebih luas iaitu dengan membuka penyertaan penonton Cina dan juga Melayu urban menerusi saluran 8TV dan ntv7.

“Sebagai permulaan, kami melantik pelakon dan pengacara terkenal 8TV, Pauline Tan menjadi salah seorang duta DFKL 2018. Selain popular dalam kalangan penonton saluran itu dia dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu dengan sempurna,” katanya pada sidang akhbar DFKL 2018 di Nate Bistro, Ara Damansara, baru-baru ini.

Mengulas tentang objektif acara tahunan tersebut, Johan berkata, ia masih menumpukan pembangunan dan kemajuan penerbitan drama tempatan.

“DFKL masih mengekalkan objektifnya iaitu untuk mencungkil bakat baharu bukan sahaja dalam bidang lakonan, pengarahan dan penulisan skrip.

“Selain itu, acara ini memberi peluang kepada anak-anak muda menimba ilmu bersama panel berpengalaman dalam industri drama,” katanya lagi.

Menampilkan Syazuwan Hassan dan Pauline Tan sebagai duta, DFKL 2018 juga disertai oleh Jason Chong dan Jason Kok sebagai panel yang akan berkongsi ilmu mengenai pengarahan dan pembikinan filem dalam bengkel.

Sementara itu, bagi kategori lakonan, empat nama besar tanah air iaitu Fauziah Ahmad Daud, Sheila Rusly, Datin Diana Danielle dan Fasha Sandha akan bertindak sebagai pembimbing sementelah kategori penulisan kreatif dibimbing Erma Fatima dan Shahrulezad.

Kekal penyertaan

Komponen utama DFKL masih lagi mengekalkan penyertaan untuk pertandingan drama pendek peringkat awam dan sekolah menengah, pertandingan sesi kongsi (pembentangan idea), bengkel dan uji bakat lakonan.

Bagi menyemarakkan DFKL 2018, orang ramai turut berpeluang untuk menyertai jelajah DFKL yang diadakan di dua lokasi berbeza sepanjang Februari dan Mac.

Malam anugerah DFKL 2018 merupakan kemuncak penganjuran kempen yang memartabatkan industri lakonan tanah air. Malam pengiktirafan buat para pelakon, pengarah, penulis skrip dan drama pilihan penonton itu turut mempertandingkan 11 kategori iaitu Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulisan Skrip Pilihan, Lagu/OST Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan dan Drama Pilihan tonton VIP, Drama Radio Pilihan dan Drama Pendek Pilihan.

Bagi peminat yang ingin melihat idola kesayangan mereka meraih kemenangan, boleh membuat undian bagi menentukan barisan pemenang bermula 1 Februari sehingga 1 Mac 2018 menerusi laman web rasmi DFKL 2018 www.dfkl.com.my.