Pengasas band The Jackson 5 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 89 tahun iaitu dua hari selepas ulang tahun kesembilan kematian anaknya, Michael Jackson.

Berita kematian berkenaan disahkan sendiri oleh anaknya, La Toya Jackson dan cucu, Taj Jackson menerusi akaun Twitter milik mereka.

“Saya akan sentiasa menyayangi ayah. Kamu beri kami kekuatan dan menjadikan kami salah sebuah keluarga paling popular di dunia. Saya sangat menghargainya dan tidak akan melupakan setiap kenangan kita bersama. Berehatlah dengan tenang Joe Jackson,” tulis anaknya.

Sementara itu, Taj Jackson yang merupakan anak kepada Tito Jackson turut menyifatkan pemergian datuknya itu sebagai satu kehilangan besar dalam keluarga kerana Joe begitu disayangi dalam keluarganya.

“Sangat menyedihkan apabila membaca komen tentang datuk saya daripada mereka yang tidak pernah langsung mengenalnya. Joe sangat disayangi dalam keluarga kami, pemergiannya begitu memberi kesan,” tulis Taj.

Joe atau nama penuhnya Joseph Walter Jackson dilahirkan di Fountain Hill, Arkansas, pada 26 Julai 1929.

Menurut sumber, dia telah berjuang melawan penyakitnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2015 dia pernah dimasukkan ke hospital akibat strok dan pada tahun 2016 pula, dia pernah mengalami demam panas.

Penyakit kanser yang dihidapinya itu juga pernah menyerangnya beberapa kali sehingga doktor pernah memberitahu penyakit berkenaan tidak boleh dirawat dan hanya mempunyai sedikit masa untuk hidup.

Joe meninggalkan isterinya, Katherine Jackson, dan 10 orang anak antaranya Janet Jackson, LaToya Jackson, Rebbie Jackson dan Jermaine Jackson. - K! ONLINE