Memberi kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan kemenangan, DFKL 2018 bukan sahaja melibatkan usaha keras penggiat seni, bahkan turut melibatkan sokongan khalayak terhadap naskhah dan selebriti yang bertanding.

Barisan nama artis yang sedang laris di pasaran dilihat mendominasi trofi kategori utama apabila menyaksikan aktor bertubuh sasa, Zul Ariffin dinobatkan sebagai Aktor Pilihan menerusi drama rantaian Titian Cinta, manakala aktres Janna Nick (Biar Aku Jadi Penunggu) pula memenangi anugerah Aktres Pilihan.

Bukan sahaja kedua-dua artis itu, pelakon yang popular dengan jolokan Jericho Rosales Malaysia, Shukri Yahaya pula pulang dengan trofi Antagonis Pilihan (Andainya Takdir).

Gandingan mantap antara Syafiq Kyle dan Ayda Jebat (Dekatkan Jarak Kita) pula selayaknya dijulang sebagai Pasangan Pilihan.

Bagi kategori utama, gelaran Drama Pilihan DFKL 2018 dimenangi naskhah terbitan rumah produksi JS Pictures Sdn. Bhd. Dekatkan Jarak Kita, arahan Azman Yahya atau Jinggo. Keputusan tersebut sebenarnya langsung tidak dijangkakan oleh Sheila Rusly, isteri Jinggo.

Selaku penerbit, Sheila menjangkakan naskhah Titian Cinta arahan Heykal Hanifah diangkat sebagai Drama Pilihan, memandangkan karya terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd. tersebut berjaya mendominasi empat anugerah iaitu Aktor Pilihan, Pengarah Pilihan, Skrip Pilihan dan Lagu Tema Terbaik (Sumpah Cintaku) nyanyian Asfan.

“Sekiranya melihat terhadap corak kemenangan menerusi penganjuran DFKL terdahulu, pemenang kategori Pengarah Pilihan dan Skrip Pilihan sekali gus melayakkan naskhah yang diwakili memenangi anugerah trofi Drama Pilihan.

“Namun, berbeza pada tahun ini apabila landskap senarai pemenang berbeza. Ia memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni lain serta tidak yang membenarkan dominasi mana-mana karya,” terang Sheila.

Tambahnya, situasi tersebut secara tidak langsung mencerminkan peminat bijak dalam menentukan kemenangan seimbang tanpa memberi fokus terhadap sesebuah naskhah sahaja.

“Tidak dinafikan senarai pemenang agak mengejutkan berbanding sebelum ini yang rata-rata mudah dijangka terutama kategori Drama Pilihan kerana ia bergantung kepada kemenangan pengarah mahupun skrip.

“Tetapi, DFKL kali ini lebih bersifat terbuka dan seimbang,” jelas Sheila.

Selain membawa pulang trofi Drama Pilihan, bintang utama naskhah tersebut, Ayda Jebat dan Syafiq Kyle turut meraih bonus dengan dalam kategori Pasangan Pilihan.

Keserasian

Sama seperti Sheila, Ayda turut tidak menyangka anugerah tersebut akan menjadi miliknya berdasarkan kemenangan yang diraih drama rantaian Titian Cinta.

Baginya, impak populariti gandingan utama dalam drama tersebut iaitu Zul Ariffin bersama Farah Nabilah selain keserasian Nina Iskandar dan Shukri Yahaya (Andainya Takdir) yang akan memenangi trofi kategori berkenaan.

“Tidak dinafikan setiap karya yang bertanding memberikan saingan yang berbeza dan sengit.

“Awalnya, saya tidak meletak harapan untuk menang memandangkan ketika itu naskhah Titian Cinta mendominasi kemenangan.

“Setelah diumumkan sebagai pemenang, saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang bersusah payah mengundi. Menariknya, drama ini tidak banyak melibatkan adegan bersentuhan terutama ketika babak romantik.

“Meskipun tidak melibatkan babak bersentuhan secara fizikal, aksi bertentangan mata antara pelakon sudah cukup menggambarkan perasaan romantik dan ia berjaya dirasai oleh penonton,” ujar Ayda yang turut mengakui mudah bekerjasama dengan Syafiq.

Sementara itu bagi Syafiq, mewujudkan keserasian bersama Ayda bukan suatu perkara sukar, sementelah mereka saling mengenali namun tiada peluang untuk bekerjasama selama ini.

“Cara seseorang pelakon mempamerkan perasaan romantik bergantung terhadap kreativiti masing-masing.

“Saya juga bersyukur apabila peminat menerima baik penceritaan naskhah Dekatkan Jarak Kita dengan cara tidak terlalu menonjolkan adegan bersentuhan antara pelakon utama,” tuturnya.

Selain Ayda dan Syafiq, Zul turut meluahkan rasa terima kasih buat peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya sehingga melayakkan dirinya membawa pulang trofi Aktor Pilihan DFKL 2018.

Biarpun kemenangan tersebut berpihak kepada dirinya, Zul bagaimanapun yakin kekuatan naskhah Titian Cinta secara tidak langsung membantunya membawa pulang trofi tersebut.

“Ini semua melibatkan kerja berkumpulan di lokasi. Saya dibantu dengan kekuatan skrip dan bimbingan daripada pengarah. Saya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan selebihnya dibantu pihak lain.

“Saya mengharapkan kemenangan ini memberi lebih peluang pada masa akan datang untuk terus terlibat dalam pembikinan drama rantaian, sementelah industri kini dipenuhi dengan wajah baharu,” luah Zul penuh harapan.

Pertahankan kedudukan

Menjawab mengenai gandingannya dalam Titian Cinta, Farah Nabilah yang tewas di tangan Janna Nick, Zul memberitahu, segalanya ditentukan oleh undian peminat memandangkan anugerah tersebut menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pilihan ramai.

“Ini semua rezeki masing-masing. Kalah atau menang adat pertandingan. Peminat yang menentukan sama ada menang atau tidak,” jelas Zul.

Menjadi kemenangan kedua buat Janna, trofi Aktres Pilihan menerusi drama Biar Aku Jadi Penunggu pula merupakan simbolik dan bukti sokongan peminat terhadapnya.

Mengakui bukan mudah untuk mengekalkan kedudukan memenangi kategori sama sebanyak dua kali, pelakon berusia 23 tahun itu berharap dapat mempertahankan trofi tersebut pada tahun hadapan.

Katanya, meraih sesebuah anugerah mungkin kelihatan mudah, namun untuk mempertahankannya merupakan suatu perkara sukar, apatah lagi berdepan kehadiran pelakon baharu yang berbakat besar.

“Saingan sengit membuatkan saya tidak meletak harapan untuk menang apatah lagi drama Biar Aku Jadi Penunggu telah lama ditayangkan.

“Jika berdasarkan populariti, saya menyangka trofi berkenaan akan dimenangi Farah Nabilah.

“Drama tersebut bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton selain baharu sahaja tamat tayangan. Pastinya peminat akan lebih memberi tumpuan terhadap naskhah baharu,” kongsi Janna sambil tersenyum.

Pada masa sama, anugerah Aktres Pilihan mempunyai nilai nostalgia buat dirinya sepanjang hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Semasa DFKL 2016, trofi Aktres Pilihan merupakan anugerah sulung yang diterimanya menerusi drama Kau Aku Kita selain diangkat sebagai Pasangan Pilihan bersama Saharul Ridzwan.

“Trofi DFKL merupakan anugerah pertama yang diterima. Ia memberikan nilai sentimental buat saya dan semestinya berharap mahu mempertahankannya,” jelas Janna.

Asimilasi lama, baharu

Mendominasi kemenangan pada acara DFKL 2018, Heykal Hanifah selaku pengarah pastinya menjadi individu yang tersenyum lebar apabila naskhah arahannya, Titian Cinta bagai menyapu bersih empat daripada 12 kategori yang dipertandingkan.

Tetap mengekalkan jawapan klise, Heykal juga antara pemenang yang tidak menjangkakan kemenangannya.

Dia bagaimanapun tidak menolak usaha keras yang ditumpahkan sewaktu pembikinan drama tersebut turut mencetuskan suatu keinginan untuk menang.

Mencabar diri dengan mempamerkan gandingan pelakon baharu dan lama antara Farah Nabilah dan Zul, nyata eksperimentasi Heykal membuahkan hasil.

Bagaimanapun, Heykal yakin populariti pelakon utama tersebut turut didorong oleh kekuatan skrip termasuk kesungguhan seluruh pasukan produksi.

“Saya tidak mengatakan ini merupakan kemenangan peribadi kerana ia melibatkan kerjasama banyak pihak. Setiap orang telah memainkan peranan sehingga menjadikan naskhah ini berjaya membawa pulang empat trofi.

“Saya juga berani mengambil risiko dengan memperkenalkan wajah baharu sebagai heroin. Syukur, percaturan tersebut berhasil, sekali gus meninggalkan impak kepada penonton,” kata Heykal yang juga suami kepada pelakon Faezah Elai.

Heykal turut menasihati generasi pelapis baharu yang ingin serius dalam bidang seni agar tidak terlalu sombong untuk menimba ilmu dengan pelakon senior termasuk bersedia menerima teguran.

Selain itu, hubungan baik sesama artis dan pengarah turut memainkan peranan penting bagi memudahkan kerjasama.

“Tidak mengira sama ada popular atau tidak, artis baharu tetap memerlukan bantuan individu berpengalaman untuk membimbing agar dapat memperbaiki mutu lakonan,” terang Heykal.

DFKL 2018 yang bersiaran secara langsung menerusi saluran TV3 memperlihatkan gandingan pelakon Ajak Shiro dan Nabila Huda sebagai pengacara.

Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada Ayda Jebat, Budak Joget, Altimet, Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Siti Sarah, Shuib, Syamel, Janna, Diana Danielle dan Azlan & The Typewriter.

Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 lebih seimbang tanpa fokus terhadap sesebuah naskhah selain memberi peluang kepada banyak penggiat seni untuk menonjol.