Big Stage yang bakal bersiaran di Astro Ria pada pukul 9 malam itu menampilkan personaliti terdiri daripada Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Tajul, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Adat bertanding, pastinya para peserta sudah merasai debaran, namun pada masa sama, bakal mengutip sebanyak mungkin pelajaran dan pengalaman menerusi program berkenaan.

Minggu ini, Sensasi Bintang menemu bual dua peserta program tersebut iaitu Tajul dan Fara Hezel bagi mengetahui perasaan dan pandangan mereka mengenai program.

SENSASI BINTANG: Boleh kongsikan perkembangan terkini kalian?

TAJUL: Saya baru melancarkan single terbaharu berjudul, Hasrita baru-baru ini. Selain itu, saya turut berduet dengan Wany Hasrita melalui lagu Rindu Dalam Benci. Saya juga berlakon dalam telemovie Tergantung Rindu yang telah ditayangkan pada Aidilfitri lalu.

FARA HEZEL: Buat masa sekarang, saya fokus terhadap program Big Stage. Untuk single terbaharu pula, lagu Ku Pasrah masih lagi dalam promosi.

Kongsikan penglibatan kalian dalam program Big Stage?

TAJUL: Program realiti ini amat mencabar dan agak sukar memandangkan ia merupakan pengalaman pertama saya menyertai program seumpama ini. Berbeza dengan rakan saya, Afieq Shazwan yang pernah menyertai program realiti sejak kecil iaitu menerusi Idola Kecil. Jadi, saya mahu mencabar diri untuk cuba rasa macam mana dikritik dan memilih lagu.

FARA HEZEL: Sama seperti Tajul, saya merupakan salah seorang peserta yang melalui proses uji bakat sebelum melayakkan diri menyertainya. Saya memang tidak akan melepaskan peluang ini kerana ia satu cabaran untuk melakukan yang terbaik.

Bakal berentap dengan sembilan lagi peserta lain. Kongsikan perasaan dan persediaan kalian memandangkan rakan-rakan seperjuangan memiliki kekuatan masing-masing.

TAJUL: Sebagai seorang peserta, sudah semestinya ada sedikit perasaan gementar. Semuanya hebat-hebat. Kalau kita bertanding dengan mereka yang bukan artis, kita tidak rasa gementar sangat.

Sebagai persediaan, saya mempelajari teknik vokal dengan Ernie Zakri dan belajar kelas tarian kerana lemah dalam tarian. Saya kena kuatkan biar nampak seimbang.

FARA HEZEL: Semakin hampir, semakin debaran datang menyinggah. Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik. Macam-macam saingan dan persembahan mereka yang hebat telah saya lihat depan mata.

Siapakah pencabar paling dekat bagi kalian?

TAJUL: Pada saya, Afieq Shazwan kerana dia bagus, daripada segi suara dan tarian. Mungkin juga sebab dia dah biasa.

FARA HEZEL: Bagi saya, pencabar terdekat wanita ialah Sissy Imann dan Wany Kayrie kerana dia mempunyai teknik vokal tersendiri, Wany Kayrie. Jika lelaki, saya rasa Ariff Bahran.

Pada pandangan kalian, apakah kelebihan mengadakan program seperti ini dan sejauh mana ia penting bagi mengetengahkan bakat kalian?

TAJUL: Pada saya, program Big Stage bagus untuk naikkan nama kami golongan yang baru nak naik dalam bidang hiburan. Kalau boleh, biarlah kami terus mewarnai dunia hiburan tanah air. Insya-Allah, saya rasa kalau tidak mensia-siakan bakat dan peluang yang kita ada, kita boleh mencapai tahap lebih cemerlang.

FARA HEZEL: Apabila pihak Astro memperkenalkan program ini, saya rasa ia akan menutup persepsi orang di luar sana yang memandang kami sekadar artis tempelan. Saya mahu selepas ini, peminat memandang kami sebagai artis berbakat. Menerusi program ini juga, saya dapat menyertai kelas vokal yang selama ini tidak berkesempatan untuk berbuat demikian.

Menerusi kelas vokal, banyak mengajar untuk membuat pilihan lagu yang bersesuaian dengan suara kita. Apabila kita diberikan lagu yang tidak dijangka, ia satu cabaran dan kena buat sepenuh hati. Secara tidak langsung, orang akan tahu kita mampu membawakan lagu itu.

Adakah program seperti Big Stage ini perlu diteruskan?

TAJUL: Saya rasa ia perlu diteruskan dengan memberi peluang kepada bakat-bakat baharu yang lain untuk mengembangkan ‘sayap’ mereka dalam dunia hiburan.

FARA HEZEL: Ya, saya rasa ia perlu diteruskan untuk mengetengahkan bakat yang ada dalam diri setiap peserta.

Mungkin Fara ada perkembangan lain yang nak berkongsi dengan peminat di luar sana?

FARA HAZEL: Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan membuka sebuah kafe. Selain itu, saya juga akan keluar dengan produk kosmetik di bawah jenama sendiri.