Sama ada kekhilafan itu dilakukan secara sengaja atau tidak, yang pastinya lumrah manusia tidak pernah lari daripada melakukan dosa dalam kehidupan.

Hakikatnya juga, ia adalah sesuatu yang sangat dekat, malah melingkari setiap manusia yang bernyawa.

Justeru, buat julung kalinya, Astro menampilkan sebuah siri mini Nusantara premium eksklusif bergenre aksi berjudul Do(s)a yang mengangkat beberapa asas utama iaitu khianat, nafsu, dengki, derhaka, fitnah dan munafik.

Do(s)a yang merupakan karya asal dua karyawan hebat, Saniboey Mohd. Ismail dan Salman Aristo itu bukan sekadar memfokuskan adegan aksi semata-mata, namun diapit juga dengan pergolakan emosi, pengorbanan, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan yang mampu menguatkan lagi nilai cerita siri mini itu.

Membariskan barisan nama-nama hebat daripada tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Datuk M. Nasir, Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Hisham Hamid, Reuben Elishama serta Shenty Feliziana, Do(s)a pasti memberi impak luar biasa kepada penonton.

Menurut Pengarahnya, Ifa Isfansyah, Do(s)a menampilkan pelakon dari tiga buah negara serta melakukan penggambaran di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia kerana mahu menghidupkan lagi plot siri mini berkenaan.

“Kami memilih pelakon daripada tiga buah negara kerana kita mahu bercerita mengenai bagaimana kehidupan masyarakat di Nusantara.

“Justeru, kita selitkan beberapa babak yang pada mulanya melakukan penggambaran di Malaysia seterusnya di Jakarta, Indonesia,” jelasnya sambil menambah penggambaran Do(s)a hampir 90 peratus dilakukan di Indonesia.

Cabaran

Dalam pada itu, Ifa tanpa berselindung turut memberitahu terdapat beberapa cabaran untuk membikin siri mini berkenaan.

“Disebabkan Do(s)a mengambil jangka masa yang agak panjang untuk disiapkan, terdapat beberapa kesukaran termasuk cabaran untuk menyiapkan babak-babak aksi.

“Bagaimanapun, dengan khidmat daripada Pengarah Koreografi, Cecep Arif Rahman yang telah melatih dan mempersiapkan para pelakon untuk melakukan adegan aksi menjadikan adegan itu berjalan dengan lancar,” ceritanya lagi.

Ifa yang pernah memenangi Pengarah Terbaik Festival Filem Indonesia 2011 turut menerbangkan harapan agar siri mini tersebut dapat diterima penonton.

Sementara itu, salah seorang pelakon, Shenty tidak menafikan watak Fara yang digalas olehnya dalam siri mini tersebut amat mencabar dirinya dalam segala aspek.

“Kalau ditanya mengenai cabaran, Fara adalah watak yang paling mencabar pernah saya lakonkan tetapi pada masa yang sama ini merupakan watak yang telah lama saya idamkan.

“Sebaik sahaja menerima skrip, saya tahu yang saya tidak boleh lakukannya seorang diri. Justeru saya terus hubungi ibu Fauziah Nawi untuk mendapatkan bantuan bagi memantapkan lakonan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, disebabkan kesuntukan masa dan jadual yang padat, gadis cantik itu memberitahu dirinya sempat berjumpa dan belajar dengan Fauziah hanya tiga hari sahaja.

“Ibu Fauziah membantu saya dari segi membina watak selain menghapuskan tabiat buruk saya dalam setiap lakonan yang selama ini saya tidak tahu,” katanya yang telah berulang kali membaca skrip bagi memahami jalan cerita Do(s)a.

Selain itu, Shenty juga meluahkan pengalamannya ketika bergandingan dengan barisan pelakon hebat untuk menjayakan siri mini berkenaan.

“Alhamdulillah, bekerjasama dengan mereka merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan manis.

“Saya merasai pengalaman yang mana para pelakon memberi komitmen sepenuhnya, bersatu hati serta jiwa untuk menjayakan setiap babak. Selain itu, mereka sangat merendah diri dan tidak lokek memberi ilmu,” jelasnya.

Lasak

Menyambung bicara, pelakon dari Singapura itu memberitahu dirinya dan pelakon lain turut berhadapan dengan cabaran dari segi fizikal.

“Hal ini kerana kami perlu mempelajari sebanyak 22 koreografi adegan aksi, malah saya sendiri tiada latar belakang silat.

“Selain itu, saya juga harus menjadi lasak sepanjang penggambaran ­­Do(s)a dan mengekalkan stamina setanding lelaki,” ujarnya yang mengalami lebam dan bengkak pada badan.

Do(s)a mengisahkan tentang empat beradik iaitu Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid) dan Fara (Shenty) yang hidup bersama bapa mereka, Latif (Datuk M. Nasir) di pelosok paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Di situ, mereka sentiasa berlatih ilmu persilatan dan seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu.

Perhubungan keluarga bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama) yang tiba dari Jakarta, Indonesia.

Disebabkan satu insiden, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa semula Fara pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, semakin lama di Jakarta, semakin banyak mereka fahami tentang asal usul keluarga dan siapa bapa mereka yang sebenarnya.

Do(s)a akan mula menemui penonton di platform digital, On Demand dan Astro GO, serentak dengan tayangan di televisyen menerusi Astro First saluran 480 dan di platform NJOI mulai 14 Februari ini.