Bunyi-bunyian serta untaian lagu band bergenre rock nusantara yang dianggotai oleh Mohamed Ilham Nasir (vokalis), Mohamed Yasin Nasir (pemain dram), Mohamed Hidayat Nasir (gitaris), Awang Masrin Awang Mohd. Nor (pemain bass) dan Muhd. Izhar Hamdan (gitaris) itu sentiasa memukau kelompok pengikut mereka sejak sekian lama.

Tidak hairanlah, pemuja Pitahati pastinya teruja menyaksikan konsert Panggung Suara Pitahati di Damansara Perdana Art Centre (DPAC), Petaling Jaya, Selangor pukul 8.30 malam ini.

Pengurus Pitahati, Rahman Saharddin berkata, persembahan yang dirangka sendiri bakal menyaksikan beberapa perubahan terutamanya berkaitan konsep visual, pencahayaan, idea lakon dan prop yang bakal mengiringi persembahan Pitahati.

“Pitahati sering kali mahu menghasilkan sesuatu yang baharu dan bukan saja di dalam lagu-lagu.

“Masih segar dengan persembahan di Auditorium Muzium Negara pada dua tahun lepas, Pitahati kini semakin serius bagi menyampaikan konsep keseluruhan album mereka dalam bentuk visual persembahan,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Rahman memberitahu, DPAC dipilih sebagai lokasi konsert mini itu kerana Pitahati memerlukan tempat yang berlainan supaya mereka lebih ekspresif selain mempelbagaikan penyampaian sekali gus memberikan impak yang lebih berkesan terhadap penonton.

“Perbezaan persembahan kali ini juga merangkum pemilihan repertoir lagu-lagu daripada seluruh album, selain cuba mengisi dan mencipta konsep baharu setiap lagu yang disampaikan serta diselangi sedikit sentuhan lakon teaterikal yang akan dipersembahkan kepada khalayak (malam ini),” ujarnya.

Getus Rahman, Pitahati cukup menitik­beratkan unsur-unsur bunyian daripada instrumen masing-masing, maka secara tidak langsung berupaya menghasilkan karakter-karakter bunyi yang tersendiri sejak ditubuhkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, Mohamed Yasin memberitahu, semangat bereksperimen dengan muzik tidak pernah luntur terutamanya apabila peminat mula menyanyikan lagu-lagu mereka ketika membuat mana-mana persembahan sebelum ini.

“Ia satu kompromi. Kami mahu peminat menyukai Pitahati, bukannya kami yang perlu berubah semata-mata untuk disukai.

“Apa yang paling utama, kami puas dengan apa yang cuba kami sampaikan selain memuaskan mereka yang mendengar di luar sana,” ujarnya.

Bagi yang masih berhasrat mendapatkan tiket berharga RM80 serta RM75 (pelajar) bolehlah menghubungi Rahman (014-9470290) atau Syamil (010-4034413).