Menghimpunkan nama-nama besar berkelas A seperti Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish, Puteri Balqis Azizi, Sabrina Ali Dad Khan, Datuk Adi Putra, Datuk Aznil Nawawi dan ramai lagi, pastinya ia memberikan tekanan yang maha dahsyat buat pengkarya baharu seperti Kamal.

Sementelahan pula ia disuntik dengan elemen Bollywood, sedikit sebanyak mampu menggetarkan jiwa penonton kendatipun naratif ceritanya lebih kepada cerminan kisah yang lazimnya berlaku dalam kalangan masyarakat tempatan.

Diinspirasikan daripada kisah benar yang menimpa sahabatnya sekitar dua tahun lepas, tiada lain yang didambakan Kamal supaya Makrifat Cinta berjaya memikat jiwa khalayak, sekali gus melakar kutipan pecah panggung.

“Skrip filem ini berdasarkan kisah benar, cuma ia dirombak semula supaya lebih komersial. Saya teruja apabila barisan pelakon cukup profesional menjayakan watak, selain mengagumi portfolio masing-masing dalam industri filem tempatan,” ujar Kamal.

Tanpa berselindung, Kamal percaya mesej positif yang cuba direncanakan olehnya menerusi filem ini mampu memberikan pengajaran kepada masyarakat.

“Lebih 50 peratus kru produksi dibawa dari Mumbai, India selain menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI), sebab itu bajet filem ini mencecah RM4juta.

“Kami juga merancang untuk menayangkan filem ini di Indonesia dan Dubai selain ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan.

“Pada masa sama, promosi filem ini juga rancak dijalankan termasuk menggunakan media sosial,” ceritanya lagi.

Kamal memberitahu, dia juga berdepan cabaran untuk merealisasikan skrip filem Makrifat Cinta ke layar perak terutamanya faktor cuaca dan pos produksi.

Apa kata pelakon

Dalam pada itu, salah seorang peneraju utama filem berkenaan, Nabila Huda teruja sebaik dilamar membintangi filem ini.

“Sekian lama diberikan watak-watak berat dalam untaian naskhah drama sebelum ini, ini kali pertama saya diberikan peluang di layar perak.

“Masalah keserasian juga tidak timbul memandangkan saya sudah selesa bekerjasama dengan Syamsul sebelum ini,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang.

Getus Nabila, peluang bekerjasama dengan produksi dari luar juga memberikan pengalaman berbeza buatnya.

“Jangan terlalu awal menyifatkan filem ini seakan-akan sama dengan filem Bollywood kerana ia sebenarnya cerminan kisah yang sering kali berlaku dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Nada yang sama turut disuarakan Syamsul apabila kali pertama terlibat dengan produksi luar gara-gara kekangan masa selama ini.

“Tawaran itu hadir ketika saya bebas daripada sebarang komitmen, jadi tidak salah untuk mencuba,” jelasnya.

Pada masa sama, Syamsul juga menolak tanggapan skeptikal betapa dia sukar bekerjasama dengan pengarah baharu seperti Kamal.

“Kamal memiliki idea dan visi yang cukup jauh bagi memasarkan filem ini. Selain itu, dia juga cukup terbuka menerima pandangan orang lain,” ujarnya.

Syamsul juga mengakui wataknya dalam filem ini agak sukar untuk diterjemahkan, selain mengalami kecederaan semasa penggambaran sebelum ini.

“Sebagai orang biasa, saya lebih bereksperimen dengan emosi dalam filem ini terutamanya apabila berperang dengan perasaan untuk membahagiakan isteri dan anak,” katanya.

Sementara itu, Puteri Balqis bertuah apabila banyak dibantu sutradara dan barisan pelakon senior bagi menjiwai wataknya dalam Makrifat Cinta kendatipun sekali lagi perlu bermain dengan air mata seperti mana yang sinonim dengan watak-wataknya dalam drama sebelum ini.

“Saya sentiasa mahu berusaha memberikan yang terbaik dan banyak mendapatkan nasihat pengarah jika apa yang saya berikan tidak memenuhi tuntutan dikehendaki dalam filem berkenaan,” jelasnya.

Filem Makrifat Cinta mengisahkan Mahathir (Syamsul), pemuda kelas bawahan yang kesempitan wang gara-gara sikap boros isterinya, Zara (Nabila).

Sikap Zara yang gemar meminjam wang daripada ah long juga menyukarkan kehidupan Mahathir bagi membesarkan anak tunggal kesayangan, Aisha (Puteri Balqis).

Pertemuan dengan rakan lama kolej, Sofea (Nora Danish) sebelum bersama-sama mencipta sebuah aplikasi unik untuk telefon pintar memberikan harapan baharu buat Mahathir.

Tanpa disedari oleh Mahathir, pertemuan itu melahirkan rasa cemburu di hati Zara yang meminta bantuan adiknya, Rizal (Adi Putra) untuk membunuh Sofea.

Filem Makrifat Cinta yang sarat dengan emosi, lagak aksi dan bertemakan kekeluargaan itu bakal menemui penonton di pawagam pada 1 Februari ini.