Mana tidaknya, kurang daripada tempoh 24 jam pengikut industri hiburan tanah air bakal menyaksikan sebanyak 12 buah lagu yang akan berentap untuk merebut gelaran juara AJL32.

Mereka yang bertanding ialah Salma menyanyikan lagu Akhirnya Cinta, Khai Bahar (Bayang), Azmi&Caliph Busker (Sejati), Altimet (Amboi), Hazama & The Penglipur Lara (Aku Yang Sebenar), Ara Johari (Warkah Untukmu), Dayang Nurfaizah (Separuh Mati Ku Bercinta), Syamel dan Ernie Zakri (Aku Cinta), Haqiem Rusli (Tergantung Sepi), Hael Husaini (Jampi), Wany Hasrita (Menahan Rindu) dan Syamel (Lebih Sempurna).

Penganjuran AJL sememangnya dinantikan ramai kerana kelainan yang sentiasa disajikan setiap kali penganjurannya.

Penerbitnya, Nurhul Huda Khalid memberitahu, AJL32 turut memberikan kelainan tersendiri untuk dipertontonkan kepada para peminat khususnya pengikut industri hiburan tanah air.

“Setiap tahun, AJL sentiasa mahu melakukan peningkatan dan kelainan yang tersendiri.

“Bagi tahun ini, kita juga ada sesuatu yang istimewa. Antaranya, kemunculan penyanyi Stacy pada pembukaan. Selain itu, sebuah lagi persembahan yang cukup mengembalikan nostalgia turut diadakan.

“Setakat ini, itu sahaja yang boleh saya kongsikan, sekiranya mahu mengetahui apa kelainannya, jangan lupa menyaksikan AJL32 malam ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurhul turut menerbangkan harapan agar perjalanan AJL32 pada malam ini dipermudahkan.

Umum mengetahui, penganjuran AJL sememangnya dinantikan pelantun suara kerana ia dilihat sebagai satu platform untuk mereka tampil membuktikan kebolehan diri.

Kalah atau menang, itu lumrah adat bertanding. Namun, selagi ada peluang untuk membuktikan yang terbaik, lakukanlah dengan sepenuh hati.

Begitu juga apa yang dirasai salah seorang finalis, Dayang Nurfaizah.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik pada malam ini.

“Sekiranya menang, ia adalah rezeki. Jika tidak, cuba lagi,” katanya yang mengakui ada debar dalam hati meskipun sudah enam kali beraksi di pentas akhir AJL.

Tanpa berselindung, Dayang juga mengakui persaingan pada kali ini amat sengit.

“Meskipun mereka baharu, namun mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Justeru, saya menganggap kesemua finalis adalah saingan kepada saya,”jelasnya.

AJL32 yang diadakan pada malam ini mengangkat elemen fesyen dan muzik sebagai tema utama.

Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Alif Satar, AJL32 bakal disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada pukul 9 malam.