Filem bergenre seram yang dijangka menemui penonton pada awal November ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan A’sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Cristina Suzanne dan Marsha Milan.

Melihat kepada gelombang industri perfileman yang kini sedang mengalami perubahan positif apabila ramai peminat mula membanjiri pawagam untuk menyokong karya tempatan, Raja Mukhriz mempunyai keyakinan naskhahnya itu mampu mendapat tempat di hati penonton.

Biarpun ini kali pertama dia mengarahkan filem bergenre seram, suami kepada pelakon Sharifah Shahora itu menjanjikan sesuatu yang berbeza kepada penonton dengan filem Tujuh yang bukan cerita hantu tipikal.

KOSMO! : Apakah perasaan Raja Mukhriz menantikan detik tayangan filem Tujuh pada saat industri perfileman sedang mengalami perubahan yang luar biasa terutama dari segi kutipannya?

RAJA MUKHRIZ: Saya berdebar kerana itu perkara normal bagi semua pengarah atau penerbit apabila karyanya akan ditayangkan. Namun, dalam masa sama, saya gembira kerana Tujuh bakal ditayangkan pada saat industri sudah mulai berubah ke arah positif yang menyaksikan lebih ramai masyarakat mahu datang ke wayang untuk menonton filem tempatan. Saya berharap mood atau semangat ini tidak hanya terhenti untuk filem Munafik 2 dan Hantu Kak Limah sahaja, malah berterusan sampai bila-bila.

Tidakkah anda berasa tercabar dengan kutipan RM40 juta yang diraih oleh Munafik 2?

Saya berasa bersemangat dan lebih mendapat inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang sama taraf atau lebih baik daripada itu. Berasa tercabar itu satu persaingan sihat kerana ia membuatkan orang industri seperti saya lebih bekerja keras dan tidak berada dalam zon selesa sahaja. Saya tumpang bangga dengan kejayaan sahabat-sahabat saya.

Memilih genre seram untuk Tujuh, adakah ia sememangnya genre kegemaran anda?

Sebenarnya saya tidak suka cerita seram tetapi inspirasi filem Tujuh ini datang daripada pengalaman saya sendiri sewaktu kecil dahulu. Sejak dahulu, saya memang suka menghasilkan filem yang bersifat lokal atau tempatan kerana ia lebih dekat dengan masyarakat kita.

Meskipun filem Tujuh ini bukan kisah hantu tradisional seperti langsuir atau pontianak, namun ia mempunyai mesej tersendiri. Ia sebuah kisah seram tempatan tetapi memiliki ciri-ciri antarabangsa. Itu kelebihan filem Tujuh.

Selain filem Tujuh, apakah projek terbaharu anda?

Saya kini berada dalam fasa penyelidikan untuk membikin filem biopik berkenaan Azizulhasni Awang dan juga filem bertajuk NakaNami. Kedua-duanya masih berada pada peringkat awal pembikinan dan belum memulakan penggambaran atau menjalani sesi pemilihan barisan pelakon. Selain itu, saya juga sudah hampir menyelesaikan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dalam bidang Sarjana Muda Seni kreatif (Pengurusan) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Boleh kongsikan tentang kesan melanjutkan pelajaran terhadap kerjaya anda?

Ia sangat bagus kerana memberikan saya suatu perkara baharu untuk diterokai. Saya belajar banyak ilmu-ilmu yang sebelum ini saya tidak tahu dan memberikan satu kesan segar dalam sentuhan pengarahan apabila saya berada di set penggambaran.

Kembali menyambung pengajian banyak mencetuskan inspirasi baharu dalam idea-idea pengarahan saya.