Mungkin ramai sudah tahu dan mungkin juga yang tidak mengetahui, Faizal dan Fara kembali bersatu menerusi pelancaran platform digital, DBilique yang mula bersiaran pada 19 Julai tahun lalu dengan nama lama, FBI Live pada ketika itu yang diasaskan oleh Faizal.

Bersua bicara dengan mereka baru-baru ini, Sensasi Bintang sempat bertanyakan perkembangan dan pandangan mereka terhadap jelajah DBilique ke lokasi berbeza di seluruh Malaysia.

SENSASI BINTANG: Boleh anda kongsikan bagaimana perkembangan DBilique dan sambutan daripada orang ramai terhadap program ini?

FAIZAL: Sebelum berbicara lanjut, saya ingin jelaskan, DBilique merupakan penjenamaan semula program yang saya kendalikan sebelum ini iaitu FBI Live. Alhamdulillah, pada hari pertama pun (19 Julai 2017), FBI Live menerima kira-kira 40,000 penonton dan sehingga kini (setelah ditukar kepada DBilique) masih mendapat maklum balas positif daripada orang ramai. Malah, ada juga artis yang bertanya untuk menjadi tetamu selain pengusaha produk turut bertanya bagaimana nak promosikan barangan mereka.

FARA: DBilique ini baru sahaja tukar nama (Julai lalu) kerana selama ini orang terbiasa dengan FBI Live. Jika sebelum ini, orang sinonim nama saya dengan Hot FM dan program Nona, namun kini ada yang mula tegur dan tanya saya macam mana dengan DBilique? Ini merupakan petanda yang baik.

Difahamkan bermula bulan ini, DBilique akan menjelajah ke beberapa ke lokasi berbeza di seluruh Malaysia. Macam mana timbul idea bagi sebuah program yang dikendalikan atas platform digital untuk adakan jelajah begini dengan menggunakan trak kerana kebiasaannya stesen radio rasmi sahaja yang sering melakukannya?

FAIZAL: Sebenarnya, untuk perkara ini kami semua berbincang antara satu sama lain. Selain itu, ia juga adalah berdasarkan pengalaman yang mana saya dan Fara pernah melakukan perkara sama (jelajah) sewaktu bekerja di Era. Konsepnya sama, kita bawa kenderaan, jumpa orang, mengadakan permainan kemudian balik.

Jadi, konsepnya, kita praktikkan juga untuk DBilique. Cuma kali ini, kita tidak menggunakan frekuensi sebaliknya 100 peratus digital. Trak adalah perkara biasa sekarang dan kita tidak perlukan pentas di satu-satu lokasi.

Adakah kalian rasa, menerusi Jelajah DBilique, ia membantu untuk mengukuhkan jenamanya?

FAIZAL: Ya, betul. Kita perlu ingat, walaupun kini di era digital, ramai lagi di luar sana yang belum serasi 100 peratus dengan perkembangan ini tetapi perubahan itu berlaku sangat cepat. Dengan apa yang kami lakukan, kita guna konsep trak. Apa yang kita tampal di luar trak adalah paparan imej Instagram, Facebook dan web DBilique. Kita mahu mendidik mereka bahawa DBilique adalah satu saluran digital.

Trak ini juga adalah satu usaha berterusan untuk terus dikenali, memberi pendedahan tentang DBilique dan peluang mendekati peminat.

FARA: Saya pun rasa begitu. Jelajah ini mampu memperkenalkan DBilique kepada orang ramai.

Soalan kepada Fara, selaku personaliti di platform digital, apa cabaran yang anda hadapi?

FARA: Tenaga, apabila umur sudah 38 tahun, jangan nak berangan macam umur 28 tahun (ketawa). Apa yang saya perasan, audio dan visual untuk DBilique perlu lebih kerana orang mahu menontonnya. Kalau pasif, orang kurang berminat. Jadi, tenaga itu penting.

Kepada Faizal pula, apa lagi pembaharuan yang sedang dirancang untuk memantapkan DBilique?

FAIZAL: Kami mahu meneroka dengan lebih mendalam dan tidak lama lagi pada bulan Oktober, kita mahu mencari bakat-bakat baharu yang terdiri daripada mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan tertentu.

Baiklah, mungkin ada perkembangan lain yang kalian mahu kongsikan bersama peminat?

FAIZAL: Saya memberi fokus kepada dua perkara iaitu bisnes digital (DBilique) dan produk makanan sejuk beku (makanan Melayu) buat masa sekarang.

FARA: Buat masa sekarang, keutamaan saya adalah DBilique. Saya masih juga menjadi pengacara majlis dan pada masa sama, saya masih seorang sukarelawan.