Tanpa sedar, tahun ini karier seni mereka hampir berusia dua dekad. Dayang memasuki tahun ke-19, Misha menuju ke angka 17, manakala Sarah pula sudah 16 tahun menjadi penyanyi.

Sepanjang tempoh itu, mereka berjaya mengikut arus seni tanpa menggadaikan identiti dan maruah muzik yang diusung.

Seperti berjanji, tahun ini mereka muncul dengan single terbaharu yang menjadi runut bunyi filem dan drama popular.

Tuah mengiringi langkah Dayang, Misha dan Sarah apabila single yang dipertaruhkan menjadi kegilaan peminat. Justeru, mereka disatukan dalam sesi fotografi khas ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-14 Kosmo! baru-baru ini.

Antara ketiga-tiga bintang ini, pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty boleh dikatakan antara penyanyi senior yang paling konsisten.

Sejak tahun 2014 tanpa gagal, pelantun lagu Separuh Mati Ku Bercinta itu bergelar finalis akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).

Malah, pada AJL31 dua tahun lalu, Dayang membuktikan dirinya kekal relevan di tengah-tengah kebanjiran penyanyi muda yang memiliki jutaan pengikut di laman sosial apabila muncul juara menerusi lagu berhantunya, Lelaki Teragung.

“Saya kekal relevan mungkin kerana mengikut aliran atau selera lagu yang diingini peminat. Rasanya, zaman kemunculan saya dahulu tidaklah terlalu jauh berbanding dengan penyanyi sekarang.

“Cuma untuk kekal bersaing, perlu berani mencuba sesuatu yang baharu. Kesabaran perlu tinggi, terus berusaha dan jangan berputus asa.

“Jika sambutan terhadap single atau album yang dikeluarkan ala kadar, saya terus mencuba sehingga bertemu lagu yang tepat,” ujar Dayang mengenai rahsia memiliki karier seni yang konsisten.

Wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak melihat perkongsian kehidupan peribadi di laman sosial yang menjadi trend dalam kalangan selebriti masa kini sebagai satu keperluan untuknya kekal relevan.

Hanya perkongsian berkenaan karier dirasakan sudah memadai untuk berasa dekat dengan peminat.

“Saya mengaku bukanlah pengguna laman sosial yang aktif dan hanya berkongsi perihal kerjaya. Jika tidak memuat naik sebarang aktiviti bermakna saya sedang bercuti. Saya selesa untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadi kepada umum.

“Andai selebriti lain lebih bersikap terbuka di laman sosial, terpulang kepada mereka kerana ia hak individu,” kata Dayang.

Berkongsi tentang buah tangan terbaharunya, Dayang kini muncul dengan single berjudul Layarlah Kembali yang menjadi runut bunyi filem Pulang lakonan aktor Remy Ishak.

Masih dalam fasa mempromosikan Layarlah Kembali yang merupakan single ketiganya tahun ini selepas Dia dan Haram, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengharapkan lagu berkenaan diterima baik oleh peminat.

Tuah Sarah

Buat penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang mendaki populariti dengan lagu Kesetiaan pada tahun 2002, dia menyifatkan tuah dan rezeki memainkan peranan besar dalam perjalanan karier seninya.

Masakan tidak, selepas tujuh tahun menyepi kerana memberi fokus kepada keluarga, kemunculan single Semakin yang menjadi runut bunyi drama Halalkan Hati Yang Ku Curi berjaya menghangatkan kembali nama Sarah dalam dunia hiburan tanah air.

“Soal relevan atau tidak, perkara itu agak peribadi kerana bergantung pada penerimaan orang. Namun, saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.

“Antaranya berada bawah syarikat pengurusan Indigital Music yang banyak membantu melancarkan semula karier nyanyian saya dan diberi rezeki dan tuah oleh Allah,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Malahan, karier nyanyian penyanyi bertubuh genit itu mendapat sokongan penuh daripada suaminya, pelawak popular, Shuib Sepahtu yang juga pencipta single terbaharunya.

Sarah, 34, bagaimanapun tidak meletakkan tanggungjawab untuk mencipta single seterusnya pada bahu Shuib, meskipun dia mempunyai potensi cerah dalam bidang penciptaan lagu.

“Saya bertuah kerana memiliki Shuib sebagai suami kerana dia sangat menyokong apa yang saya lakukan. Sebagai penyanyi dan isteri sudah tentu saya berharap dia boleh mencipta lagu lain untuk saya.

“Cuma, soal penciptaan lagu Semakin sebenarnya ia lebih ke arah tuah. Saya percaya perkara tersebut kerana single Bersamamu yang dikeluarkan pada 2005 merupakan satu-satunya lagu ciptaan komposer bernama Effendi. Selepas itu, dia langsung tidak mencipta lagu, mungkin Shuib juga begitu.

“Jika Shuib memperoleh ilham dan menghasilkan lagu yang baik, mungkin saya akan mempertimbangkan. Hal ini kerana pada akhirnya Shuib akan dinilai sama seperti komposer lain apabila ia membabitkan karier nyanyian saya.

“Namun, jika tiada lagu daripadanya saya akan mencari komposer sesuai atau cuba mencipta lagu sendiri,” kata Sarah yang merancang mengadakan konsert di Esplanade, Singapura sekitar tahun ini.

Pengalaman tular Misha

Bagi Misha Omar pula, pengalaman berdepan dengan situasi tular apabila single baharunya, Sampai Bila menjadi siulan ramai dek penangan drama bersiri Jangan Benci Cintaku lakonan Saharul Ridzwan, Zahirah Macwilson dan Niena Baharun adalah sesuatu yang baharu dan tidak dijangka.

Mengakui, sebenarnya tidak menyedari bahawa Sampai Bila sudah menjadi permintaan ramai di saluran radio tempatan dan semakin mendapat tempat di hati peminat, dia bagaimanapun bersyukur kerana terpalit tular yang positif.

Katanya, selaku artis yang tidak lahir ketika zaman teknologi, media sosial dan tular, ini merupakan satu pengalaman yang manis serta membuktikan betapa kuatnya pengaruh peminat masa kini.

“Jujurnya saya masih tidak memahami bagaimana cara untuk membuatkan sesuatu itu menjadi tular kerana dalam keadaan saya, ia berlaku secara tidak sengaja.

“Contohnya, apabila saya menyanyi sambil duduk sewaktu menghadiri sebuah program hiburan baru-baru ini, pada saya ia perkara biasa tetapi netizen melihat ia sesuatu yang berbaloi untuk ditularkan.

“Sama juga dengan single ini, saya terharu kerana lagu saya turut diangkat bersama populariti lakonan pelakon-pelakon hebat drama Jangan Benci Cintaku.

“Baru pertama kali saya berdepan kuasa tular dan ia ternyata mempunyai impak yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik nama [email protected] Omar itu turut meluahkan rasa syukur. Meskipun hampir dua tahun tidak mengeluarkan sebarang produk, namun peminat masih setia menyokongnya.

Namanya yang kembali meniti di bibir peminat seni tempatan membuktikan pengorbanannya memberikan fokus setahun kepada anak, Muhammad Idris Ezzwa sejak dilahirkan pramatang pada tahun 2016, ternyata tidak sia-sia.

“Saya rasa industri sekarang semakin meriah dengan persaingan sihat antara senior dan junior kerana semua orang mendapat peluang sama rata bagi mengekspresikan karya masing-masing. Tiada lagi istilah jika artis senior menonjol, ia menutup laluan artis junior atau sebaliknya.

“Kami semua juga semakin seronok untuk terus memperjuangkan industri seni apabila keadaan seperti ini berkekalan. Peminat pula semakin matang dan bijak menilai karya yang dipersembahkan kepada mereka,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Misha turut mengesahkan bakal kembali mewarnai dunia lakonan apabila bakal turun ke lokasi penggambaran sebuah drama bersiri selepas kali terakhir muncul di televisyen menerusi naskhah Qaseh Marissa pada tahun 2011.

Biarpun belum dapat mengesahkan sebarang butiran lanjut tentang drama berkenaan, Misha memberitahu bakal memasuki set penggambaran bermula Oktober depan.