Lebih dalam lagi, keberadaan Dayang di republik berkenaan pada masa sama berjaya mengembalikan harum nostalgia yang pernah tercipta dalam kalangan peminat menerusi rangkaian melodi dan bait-bait lagu nyanyiannya yang pernah popular suatu ketika dulu.

Sepanjang dua jam konsert yang dianjurkan di bawah siri festival tahunan Pesta Raya – Malay Festival of Arts tersebut berlangsung, seluruh pemuja pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu dilihat turut serta menyanyi, mengikuti setiap rangkap lirik yang dilantunkan tanpa gagal.

Sesekali, kedengaran sahutan dan jeritan-jeritan kecil dari arah perut dewan tiga tingkat tersebut, menandakan gelodak teruja para penonton saat Dayang mula menyanyikan lagu-lagu kegemaran masing-masing.

Perjalanan muzikal

Membuka tirai persembahan dengan dendangan berjudul Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, dua karya berlainan genre tersebut barangkali boleh disifatkan sebagai pemanas acara.

Selain memberi variasi dan warna muzik yang berbeza, kedua-dua lagu berkenaan pernah menyumbangkan memori manis buat Dayang apabila dinobatkan sebagai Lagu Terbaik bagi kategori Balada dan Etnik Kreatif menerusi Anugerah Juara Lagu ke-16 dan 19.

Begitu juga dengan medley Kembalilah Sayang, Mana Mungkin dan Aku Rindu Aku Jemu, penghibur berusia 36 tahun itu terus menjampi audiens dengan untaian lagu yang pernah hit sekitar dua dekad lalu.

Tidak hairan jika Dayang sendiri menggelarkan konsert tersebut sebagai sebuah perjalanan muzikal yang bercerita tentang dirinya sebagai pelaku seni.

“Konsert ini boleh divisualkan sebagai sebuah laluan muzik yang bercerita tentang karier nyanyian saya.

“Sejujurnya, saya berasa sangat gembira kerana diberi peluang berkongsi tentang penceritaan tersebut menerusi sebuah persembahan yang sangat indah bersama peminat di sini,” tuturnya.

Melihat pada kesinambungan rangkaian lagu-lagu nyanyian Dayang, terdapat sebuah lagu yang diubah susunan muziknya.

Cuba menyuntik kelainan tetapi masih tidak tergelincir daripada landasan muziknya, lagu Pintaku Yang Terakhir digubah semula dengan irama jazz dan dinyanyikan secara lebih santai.

“Ada beberapa lagu yang saya kekalkan susunan muzik asal dan ada juga yang digubah semula untuk menampilkan kelainan.

“Kepuasan peminat adalah keutamaan dan apabila melihat mereka menikmati lagu-lagu yang dipersembahkan, ia sudah cukup untuk memberikan kelegaan buat saya,” katanya lagi.

Lagu pilihan

Ditanya mengenai pemilihan 25 buah lagu yang dipersembahkan pada konsert tersebut, Dayang tanpa teragak-agak menjelaskan bahawa kuasa pemilihan diserahkan bulat-bulat kepada peminatnya.

“Sejak membuat pengumuman tentang konsert ini beberapa bulan lalu, saya sendiri meminta peminat untuk menamakan lagu-lagu yang mereka ingin dengar menerusi Instagram.

“Apa yang boleh saya katakan, hampir 90 peratus lagu yang saya nyanyikan pada konsert ini adalah pilihan peminat,” katanya yang hanya memilih sekitar dua buah lagu bagi melengkapkan persembahan tersebut.

Bagaimanapun, tidak semua lagu popularnya terpilih untuk dinyanyikan. Sebagai contoh, lagu Ingin Ku Miliki dan Hilang yang diterbitkan menerusi album 20.07 (2007) tidak dimasukkan dalam senarai lagu persembahan.

Menurut Dayang, dia bukan sengaja untuk mencicirkan dua lagu tersebut daripada persembahan. Ulasnya, pemilihan lagu dibuat berdasarkan permintaan terbanyak peminat dan bukannya diskografi keseluruhannya sepanjang bergelar penyanyi.

“Lagu-lagu yang disenarai pendek adalah apa yang diinginkan peminat. Tambahan pula, pilihan dibuat berdasarkan lagu, bukan album,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai perasaan menjayakan konsert sulung di Singapura, Dayang berkata, dia tidak pernah terlepas daripada diselubungi kegusaran dan berasa cemas ketika berada di atas pentas.

Kongsi Dayang, dia risau jika apa yang ingin disampaikan kepada penonton tidak berjalan seperti yang dirancangkan, lebih-lebih lagi kebanyakan lagu yang dinyanyikan adalah berentak balada.

“Sebab itulah saya asyik berbual dengan penonton dengan harapan perasaan panik segera hilang.

“Maklumlah, pertama kali menjayakan konsert di sini, sudah pasti saya mahukan persembahan yang sempurna tanpa cacat cela,” katanya.

Bagaimanapun, Dayang menyatakan rasa puas hati kerana menerima maklum balas yang positif daripada peminat usai menyaksikan persembahannya tempoh hari.

“Saya meletakkan seluruh jiwa pada persembahan dan sentiasa berharap agar mereka berpuas hati dengan apa yang saya berikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana peminat menyukai konsert ini,” katanya lagi.

Beralih tentang gaya persembahannya pada malam itu, Dayang kelihatan selesa dengan lagu-lagu berentak balada. Hal ini ditonton menerusi rangkaian lagu-lagu berentak sedemikian yang dipilih daripada album terbaharunya, Dayang Nurfaizah (2017).

Signatur

Selain Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung, penyanyi yang mula dicungkil bakatnya selepas memenangi Golden Teen Search 1997 itu turut menyanyikan lagu Dia, Separuh Mati Ku Bercinta dan Layarlah Kembali.

Menurut Dayang, biarpun dia kini dikenali sebagai pelantun lagu-lagu balada, namun jiwa dan cara nyanyiannya masih kekal dalam aliran irama R&B.

“Jika dilihat jenis muzik yang saya bawakan sejak dahulu, saya akui ada perubahan. Tetapi, gaya nyanyian masih sama.

“Cuma, selepas bergelar penyanyi untuk tempoh yang lama, saya lebih mengenali suara sendiri dan berupaya untuk melakukan pelbagai teknik ketika persembahan,” katanya yang mengakui masih terikat dengan signatur nyanyiannya sehingga kini.

Sebelum mengakhiri perbualan, Dayang ditanya mengenai perancangan untuk mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur selepas berjaya memukau peminat di Singapura. Namun, balas Dayang, dia dan pihak pengurusannya tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa ini.

“Kami tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Tetapi, jika diberi peluang dan ruang, saya akan menerimanya dengan hati yang terbuka,” tutup Dayang.

Penganjuran konsert Pentas - Dayang Nurfaizah membuktikan bahawa penyanyi berkulit hitam manis itu masih mampu mengekalkan nilai relevan dalam kalangan peminat biarpun hampir 20 tahun berkarier sebagai seorang penyanyi.

Berbekalkan mutu vokal yang bukan calang-calang dan sokongan utuh peminat, tidak mustahil jika Dayang akan terus mengekalkan reptoirnya dalam bidang nyanyian untuk 20 tahun akan datang.

Sebagaimana anda menghargai peminat menerusi lagu Dayang Sayang Kamu, begitu juga setaranya rasa sayang mereka yang dipulangkan kepada anda. Syabas Dayang, atas kejayaan konsert perdana di Singapura!

Tanggal 1 Januari lalu membuka lembaran tahun baharu yang cukup istimewa buat Dayang Nurfaizah apabila konsert solo pertamanya di Singapura, Pentas - Dayang Nurfaizah yang diadakah di Esplanade Concert Hall sukses dengan kehadiran lebih 1,500 penonton.