Biarpun mendiang kini sudah meninggalkan kita, namun sehingga ke hari ini lagu-lagunya masih kekal dalam ingatan. Apa yang pasti, dalam menarik minat golongan orang muda kini untuk menghayati rangkaian lagu-lagu Alleycats, anak mendiang Logan yang juga merupakan penyanyi, Dasha Logan merancang untuk mengembalikan semula nostalgia populariti bapanya.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, jika diberi peluang dan kesempatan, dia berhasrat untuk merakam semula lagu-lagu popular Alleycats pada tahun ini.

“Mungkin generasi pada hari ini ada yang tidak mengenali Alleycats berbanding mereka yang memang membesar dengan lagu-lagunya. Jadi, saya memang ada perancangan untuk merakamkan semula beberapa lagu yang mengangkat nama mereka suatu masa dahulu.

“Dengan cara ini, secara tidak langsung, ia dapat menarik golongan muda untuk mengenali dan menghayati lagu-lagu tersebut,” kata Dasha yang kini mula mencipta nama di United Kingdom.

Menurut Dasha, nyanyian semula itu nanti sudah pasti tidak mampu menandingi suara yang dimiliki oleh mendiang bapanya. Baginya, aura suara yang dimiliki bapanya itu cukup unik.

Jelasnya lagi biarpun pemergian bapanya sudah lebih sedekad, kata Dasha, kesedihan kehilangan bapanya itu masih lagi dirasainya.

“Sampai sekarang saya merasakan sukar untuk menerima hakikat yang dirinya sudah tiada lagi. Setiap hari saya merindui mendiang bapa.

“Saya ada perancangan juga untuk menghasilkan lagu untuk mendiang bapa, namun belum ada kekuatan untuk berbuat demikian,” katanya yang kini banyak berulang-alik ke London untuk menempa nama dalam kerjaya nyanyian di kota raya tersebut.

Bukan merajuk membawa diri, sebaliknya menurut Dasha, dia melihat peluang yang datang itu sebagai satu keemasan. Lagipun, katanya, dia mendapat sokongan daripada ahli keluarga sendiri untuk mencuba nasib di tempat orang.

Buktinya, single berjudul Cleverly yang diperkenalkan berjaya mendapat tempat di hati pendengar di kota London.

Baginya lagi, dia melihat peluang itu juga sebagai salah satu usahanya untuk membawa nama negara. Secara tidak langsung, katanya, dia dapat menjadi contoh kepada mereka di luar sana untuk meneroka peluang tanpa mengira tempat.

“Saya menceburi bidang nyanyian ini bukanlah disebabkan saya ini memegang gelaran anak mendiang Logan, sebaliknya saya memang mempunyai minat dan kecintaan dalam bidang seni. Bahkan, dari zaman sekolah lagi, saya sudah mula berjinak-jinak dengan dunia nyanyian.

“Sebolehnya, biarlah saya buktikan yang diri ini memang penyanyi yang berdiri atas bakat dan bukanlah atas tiket sebagai anak vokalis Alleycats,” kongsinya yang ditemui sewaktu majlis pengumuman dirinya sebagai ikon belia bagi program Young Entertainment Star (YES) yang bakal disiarkan di saluran digital MVTV Asia.

Bercerita mengenai program itu, menurut Dasha, ia merupakan sebuah program yang dapat memberikan inspirasi kepada anak muda di luar sana untuk sama-sama mengejar cita-cita yang mereka impikan.

Justeru, menerusi program tersebut, katanya, dia akan turut berkongsi kepada umum mengenai kisah dirinya dalam meneroka kariernya sebagai penyanyi.

“Ia merupakan satu platform yang baik untuk kita berkongsi pengalaman yang kita lalui kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Selain Dasha, antara artis lain yang turut dipersembahkan menerusi program itu termasuklah Nabil Ahmad, Zul Huzaimy dan Ernie Zakri dan Elfira Loy.