Beliau berkata, pihak stesen berkenaan menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama selepas berpuas hati dengan beberapa drama terbitan syarikatnya yang telah disiarkan.

“Saya sendiri amat terharu dengan perkembangan ini dan apa lagi yang boleh saya katakan selain bersyukur kepada Tuhan.

“Saya dimaklumkan mereka gembira kerana drama terbitan Darkwave Pictures mendapat rating yang tinggi dan sambutan hangat daripada penonton,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Rafiena yang juga seorang pelakon berkata, satu perbincangan lanjut akan diadakan tidak lama lagi untuk ke peringkat seterusnya.

Beliau menjelaskan, pihak stesen berkenaan juga menyatakan hasrat untuk membeli drama Syurgaku Tak Sempurma 2 yang sedang dalam penggambaran.

Sementara itu, Rafiena turut meraikan berita gembira tersebut bersama lebih 40 anak angkatnya di Melaka baru-baru ini.

“Sebenarnya saya memang sudah berniat untuk makan-makan bersama mereka sebelum ini. Jadi bila dapat berita gembira ini, saya terus mencari masa ke sana.

“Lebih bermakna, saya juga bakal mengerjakan umrah Isnin ini, jadi saya minta mereka doakan sekali agar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, Darkwave memang sentiasa menjalin hubungan dengan anak-anak angkat di beberapa sekolah dan pusat Tahfiz termasuk di Shah Alam dan Kuala Kangsar, Perak.

Dalam perkembangan lain, Rafiena turut teruja menantikan telefilem Janin yang bakal ditayangkan di Astro Citra pada 15 Disember ini. - K! ONLINE