Dibesarkan di Sungai Petani, Kedah dan hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, Daniella sememangnya fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Bagi dirinya, kemampuan untuk bertutur dalam bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Bagaimanapun katanya, kelebihan tersebut sering membuatkan ramai pihak teruja.

“Saya tidak pernah merasakan diri istimewa kerana mampu untuk bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Mungkin ini kelebihan yang tidak ada pada orang lain, tetapi bukan sesuatu perkara yang menghairankan,” jelasnya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai latar belakangnya, pemilik nama sebenar Daniella Sya Yeng Yeng berkata, pertuturan antara dia dan keluarga turut menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin.

Menganggap kelebihan itu sebagai rezeki, pelakon Isteri Bukan Untuk Disewa itu bersyukur kerana keupayaan tersebut membantu dirinya menembus pasaran sinema dan drama Melayu tempatan.

“Kefasihan saya bertutur dalam bahasa Melayu banyak membantu dan membuka peluang dalam bidang lakonan,” tuturnya.

Lumayan

Biarpun namanya dalam bidang lakonan belum mewangi, pengalaman Daniella bergelumang dalam dunia hiburan sebenarnya telah bermula sejak 12 tahun lalu.

Memulakan kerjaya sebagai pengacara dan penyampai radio, Daniella aktif membina kerjaya di negara jiran, Singapura sebelum membuat keputusan untuk kembali ke tanah air.

Dedahnya, ramai menyifatkan keputusan memburu peluang lakonan di Malaysia sebagai merugikan memandangkan tawaran seni di Singapura lebih lumayan.

Tidak tunduk dengan perbezaan tinggi antara mata wang Malaysia dan Singapura, Daniella tekad memburu peluang di negara kelahiran.

“Saya rasa industri hiburan di tanah air lebih besar dan peluang berlakon lebih luas. Saya juga mempunyai impian untuk menjayakan pelbagai watak. Saya tidak mahu kemampuan lakonan saya mendatar terhadap watak yang sama,” ujarnya.

Baru tamat menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 3 dan drama Ombak Rindu The Series untuk siaran platform digital iflix, dia menegaskan tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut.

“Saya rasa ini keputusan tepat dan sudah tiba masanya saya membina nama di negara sendiri. Ya, saya akui mengambil masa yang lama atau mungkin umum berpendapat saya agak lewat memulakan kerjaya di Malaysia. Tidak mengapa, asalkan saya berusaha,” luahnya.

Sementelah Malaysia dibarisi ramai heroin handalan, Daniella sempat ditebak soalan mengenai kesediaannya untuk bersaing dalam gelanggang seni tempatan.

Serius membina nama di negara ini sejak dua tahun yang lalu, dia menegaskan kehadirannya bukan untuk bersaing dengan pelakon berpengalaman, sebaliknya memeriahkan industri tempatan.

“Bukan anda (penulis) sahaja yang pernah menanyakan soalan ini. Malah ramai dalam kalangan rakan terutama kenalan artis mempertikaikan keputusan untuk terbabit aktif dalam sinema Melayu.

“Saya sedar mengenai persaingan yang ada dalam dunia lakonan tempatan. Saya yakin industri lakonan di Malaysia luas dan setiap individu mempunyai peluang. Tidak kira anda Melayu, Cina atau India, kita mempunyai peluang sama rata,” katanya telus.

Impian

Menyingkap mengenai penglibatannya sebagai pelakon, Daniella pernah menjayakan beberapa drama tempatan antaranya Aurora Aisyah, Isteri Bukan Untuk Disewa dan Jodoh-Jodoh Anissa, biarpun sekadar diberi peranan watak pembantu.

Berbekalkan wajah jelita, Daniella turut menafikan kelebihan fizikal menjadi sandaran untuk mendapatkan watak dalam setiap drama tempatan.

“Saya tetap hadir untuk uji bakat sebelum menerima sebarang watak. Tiada jalan mudah untuk menempatkan diri dalam industri ini. Setiap orang perlu berusaha keras,” tegasnya.

Sempat meluahkan hasrat hati, Daniella berharap penerbit dan pengarah tempatan sudi melihat kemampuan lakonannya menjayakan watak lebih mencabar.

Biarpun sering kali diberikan tanggungjawab melakonkan watak air mata, Danielle tidak menganggap lakonan sebegitu mudah baginya, dia tetap mendambakan variasi dalam portfolio kerjaya.

“Mungkin kerana wajah, saya sering mendapat watak air mata. Sedangkan saya ingin sekali berlakon sebagai perempuan psiko atau seram,” katanya menutup bicara.

Menerima bayaran lumayan sepanjang lebih sedekad bergelar selebriti di Singapura, Daniella Sya pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah tegar meninggalkan kemewahan demi bergelar pelakon di negara kelahirannya.