Memasuki musim terkini, ada syarat baharu yang ditekankan kepada peserta iaitu perlu mahir dalam ilmu taranum.

Menurut penerbitnya, Shukri Ibrahim, syarat tersebut diperkenalkan kerana mahu memastikan setiap da’i yang berjaya memasuki program tersebut mampu menyebarkan dakwah dengan cara terbaik.

“Untuk musim terbaharu, pihak produksi sengaja memperkenalkan syarat baharu iaitu setiap peserta perlu mahir dalam ilmu dan bacaan taranum.

“Tidak dinafikan, syarat ini membuatkan ramai peserta gagal mara ke peringkat pemilihan ketika hadir pada sesi uji bakat.

“Secara tidak langsung, ia merupakan titik tolak terhadap masa depan untuk setiap da’i mengambil berat tentang kepentingan ilmu ini dalam dakwah mereka,” ujarnya ketika ditemui sejurus sidang akhbar program berkenaan baru-baru ini.

Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam menampilkan seramai 10 orang peserta yang berjaya melepasi saringan uji bakat yang diadakan di lapan lokasi seluruh negara terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita.

Mereka ialah Da’i Adam, Da’i Amirul, Da’i Danial, Da’i Imran, Da’i Hafiz, Da’i Haziq, Da’i Syahmi, Da’i Wafi, Da’i Syazwani dan Da’i Raisyah.

Menyentuh tentang penyertaan peserta wanita yang melibatkan hanya dua orang, Shukri menjelaskan, ia disebabkan oleh penilaian kelayakan sewaktu sesi uji bakat. Tidak ramai peserta wanita yang mahir dalam ilmu taranum.

“Berbanding tahun lalu, peserta perempuan untuk musim ini hanya dua orang sahaja kerana sewaktu menjalankan sesi uji bakat, tidak ramai daripada mereka yang berjaya melepasi saringan uji bakat kerana terdapat kelemahan contohnya dari segi tajwid, apatah lagi bertaranum.

“Jadi aga sukar untuk kami mencukupkan jumlah peserta seramai lima orang seperti musim terdahulu,” katanya.

Kekal

Program Da’i musim keenam menampilkan Fakhrul Radhi daripada kumpulan nasyid UNIC dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman selaku Murabbi atau tenaga pengajar, manakala Datuk Ustaz Mohd. Zawawi Yusoh sebagai Mursyid (pengetua).

Sementara itu, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud bersama Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail memainkan peranan selaku juri tetap.

Musim kali ini masih mengekalkan Datuk Rosyam Nor selaku pengacara dan dibantu oleh Da’i Izzhar Nazri daripada Da’i Pendakwah Nusantara musim kedua selaku pengacara bersama.

Sistem pemarkahan program berkenaan diadili juri tetap sebanyak 80 peratus iaitu menerusi pengisian al-Quran dan hadis (30 peratus), gaya dan susunan isi (30 peratus) dan kreativiti persembahan (20 peratus), sementara baki 20 peratus lagi dinilai oleh Murabbi.

Pemenang Da’i musim keenam bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM60,000, naib juara RM15,000 dan tempat ketiga pula sebanyak RM10,000.

Syarikat penghasil dan pengedar produk kesihatan dan kecantikan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd. (Almas) masih kekal sebagai penaja utama bagi program Da’i musim ini.