Menjadikan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Seri Kembangan, Selangor sebagai medan mempertaruhkan taring muzik, masing-masing akan beraksi sepanjang tiga jam persembahan bermula pukul 8.30 malam.

Persembahan tersebut pastinya menjadi acara yang dinantikan peminat terutama pengikut muzik rock metal sementelah kedua-dua kumpulan terbabit berusia hampir tiga dekad dalam industri.

Bagi menjanjikan persembahan yang memuaskan, mereka memberi penekanan pada bahagian teknikal terutama melibatkan sistem bunyi dan lampu diod pemancar cahaya (LED).

Dihitungkan kesemua kos tersebut, konsert berkenaan memperlihatkan teknologi pembesar suara dan LED terbaharu dari negara China yang menelan belanja hampir RM500,000.

Meskipun menelan kos yang tinggi, XPDC mahupun Cromok menjadikan ia sebagai hadiah buat peminat yang hadir menyaksikan persembahan mereka pada malam itu nanti.

“Kami tetap berasa teruja walaupun telah memasuki usia 50-an kerana peminat tetap memberi sokongan dan reaksi positif terutama daripada kalangan golongan belia.

“Disebabkan itu, kami berusaha mendapatkan peralatan terbaik terutama melibatkan sistem bunyi kerana tidak mahu peminat yang hadir kecewa selain ia turut mempengaruhi persembahan kelak,” jelas anggota XPDC, Zuan.

Selain diberi peluang membuat persembahan sekitar satu jam 30 minit bagi setiap kumpulan, XPDC dan Cromok bakal bergabung tenaga mempersembahkan tiga buah lagu secara medley pada akhir persembahan.

Merahsiakan judul lagu yang bakal dipersembahkan sebagai gimik persembahan, Zuan bagaimanapun berasa yakin penonton akan berasa terhibur sepanjang konsert berlangsung.

Peminat turut berpeluang membawa pulang alat muzik jenis gitar Ibanez GRX70QA tajaan Joe Savana Gamma Rock House menerusi sesi cabutan bertuah yang dilakukan pada akhir konsert tersebut.

Selain itu, terdapat sesi jualan barangan cenderahati kumpulan XPDC dan Cromok seperti baju-T, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), pick gitar dan poster turut dijual sepanjang konsert berlangsung.

Bagi penonton yang hadir awal, mereka akan dihiburkan dengan persembahan busking sekitar pukul 12 tengah hari hingga 7 malam.

Dalam pada itu, penonton yang hadir turut diminta mematuhi syarat seperti tidak membawa masuk minuman keras mahupun mencetuskan kekecohan.

Perkara tersebut perlu dititikberatkan berikutan konsert berkenaan akan dirakam dan dijual dalam bentuk VCD serta DVD.