Vokalis kumpulan Monoloque itu tidak hanya cuba membawa muzik akar bangsa ke platform hiburan arus perdana, malah turut berusaha mendidik khalayak tentang elemen-elemen unik yang ada pada karya-karya asli. Ketika ini, Loque meneruskan legasi muzik genre sebegitu tetapi dengan sentuhan tersendiri.

Salah satu daripada pendekatannya adalah penggunaan instrumen tradisional. Elemen sebegitulah yang telah digunakan Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar dalam beberapa karya sebelum ini.

Masih meneruskan usaha untuk menyebarkan muzik Nusantara dalam kalangan penggemar muzik, lelaki berusia 39 tahun itu tampil dengan single terbaharu berjudul Chinta.

Berkolaborasi dengan penyanyi NJWA, Loque mengangkat muzik gamelan sebagai fokus utama dalam lagu yang bakal dimuatkan dalam album Lagu Perang (Bunyi-Bunyian Gamelan Malaysia Abad ke-21) terbitan Muzium Negeri Pahang tersebut.

Bercakap mengenai single berkenaan, Loque menjelaskan, projek bersama Muzium Negeri Pahang itu telah diusahakan sejak tahun 2014. Namun, disebabkan beberapa kesukaran seperti masalah teknikal, baru kini ia dapat dilancarkan secara rasmi.

Chinta

“Sungguhpun memakan masa yang agak lama untuk disiapkan, namun saya berasa sangat berpuas hati dengan hasil akhirnya.

“Ditambah dengan kehadiran NJWA, saya rasakan kolaborasi ini dapat memberi nafas baharu terhadap muzik tradisional Nusantara, khususnya melibatkan instrumen gamelan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video Chinta di ibu kota baru-baru ini.

Merujuk pada suntikan muzik gamelan dalam lagu Chinta, Loque sebagai orang kuat bagi lagu tersebut sedar bahawa tidak semua dapat menerima pembaharuan yang cuba dilakukan.

Ujarnya, dia berani untuk mempertaruhkan elemen tradisional dalam lagu kerana tidak mahu melihat kesenian yang ada pada muzik Melayu hilang begitu sahaja.

“Jika kita takut untuk meletakkan pembaharuan terhadap muzik, suatu hari nanti ia akan mati.

“Sekurang-kurangnya, apabila ada usaha sebegini, muzik tradisional dan Nusantara akan terus didengar,” katanya lagi.

Berani

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat terhadap karya-karyanya, Loque berkata, dia berasa sangat terkejut apabila masih ada yang mendengar lagu lama ciptaannya.

“Sejujurnya, saya berasa sungguh terkejut kerana masih ada peminat yang mendengar muzik-muzik lama saya. Sehinggakan, saya sendiri sudah lupa muzik yang saya bikin.

“Bagaimanapun, saya anggap ia sebagai petanda yang baik. Muzik Nusantara makin merebak dan makin diterima ramai,” ujar Loque yang turut diberi tanggungjawab mencipta lagu tema bagi acara Kuala Lumpur 2017 tahun lalu.

Berhubung perancangan seterusnya, Loque berkata, album Lagu Perang bakal diterbitkan dalam bentuk piring hitam.

“Album ini hanya diterbitkan dalam bentuk piring hitam dan digital sahaja. Dalam pada itu, ia juga diterbitkan dalam unit terhad iaitu sebanyak 300 keping sahaja.

“Sebanyak 20 buah lagu dimuatkan dengan 10 daripada lagu-lagu instrumental. Selain Chinta, lagu Togok yang diterbitkan dalam album mini NJWA turut diselitkan dalam Lagu Perang,” ujar Loque sambil memberitahu beberapa penyanyi lain turut diundang dalam album Lagu Perang seperti Aizat Amdan dan Tomok.

Sementara itu, NJWA berkata, percubaan pertamanya dengan Loque bakal membuka pintu buatnya untuk memperkenalkan muzik Nusantara di persada antarabangsa.

Nusantara

“Melihat pada korelasi antara muzik Loque dan gamelan, saya percaya bahawa lagu Chinta ini mampu dijadikan sebagai cerminan terbaik muzik-muzik Nusantara kepada pendengar antarabangsa.

“Saya juga berasa senang untuk menyanyikan lagu ini jika terlibat dengan persembahan di luar negara,” katanya.

Bermula dengan lagu Seri Mersing, pemilik nama sebenarnya Najwa Mahiaddin, 32, itu menganggap dirinya kini selesa menyanyikan lagu-lagu berunsurkan Nusantara.

Hal ini kerana, NJWA pernah dipersoalkan tentang akar muzik negara sewaktu menetap di New York, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.

“Ketika itu, saya nyatakan bahawa muzik Malaysia adalah pop, tetapi rakan-rakan saya di New York mahu mendengarkan muzik asli dari Malaysia.

“Disebabkan itu, tercetusnya idea untuk menyanyikan semula lagu Seri Mersing tetapi dalam susunan muzik yang lebih moden. Tidak sangka, mereka menyukainya dan saya juga sudah mula selesa untuk menyanyikan lagu-lagu dengan elemen Nusantara,” ujarnya jujur.

Menyentuh mengenai namanya, NJWA membuat penjenamaan semula namanya seiring dengan perjalanan karier yang semakin berkembang.

“Sewaktu berkelana di Eropah, sukar untuk memperkenalkan diri sebagai Najwa Mahiaddin kerana nama tersebut terlalu panjang dan sukar diingati.

“Justeru, saya memutuskan untuk memendekkan nama dan menukar ejaan kepada NJWA,” katanya.

Berkenaan dengan ejaan namanya dengan huruf besar, NJWA menjelaskan, ia ada kaitan dengan perubahan industri muzik yang kini lebih ke arah digital.

“Jika khalayak mencari nama Najwa, bukan nama saya yang akan keluar pada hasil pencarian, tetapi nama-nama penyanyi dari Lubnan.

“Jadi, apabila menggunakan nama NJWA, lebih mudah bagi peminat untuk membezakan saya dengan penyanyi lain,” ungkapnya.