Kata Rozita atau mesra disapa Che Ta, 46, pihaknya terbuka menerima permohonan maaf dalam apa saja bentuk sama ada di laman sosial ataupun datang bersemuka secara peribadi.

Peluang terakhir itu diberikan Che Ta berikutan keengganan bekas pemandunya, Muhammad Riduan Mohamad Mizol, 21, tampil pada sidang akhbar yang diadakan beliau hari ini bagi menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada lelaki itu.

Sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu sudah menghantar notis tuntutan bertarikh 11 Mac lalu kepada Muhammad Riduan yang mengandungi beberapa tuntutan seperti menghentikan perbuatan fitnah terhadapnya dan memadam gambar atau kenyataan yang memfitnah.

“Malah dalam tempoh 48 jam selepas notis itu diberi, dia diminta membuat jaminan dan aku janji bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan atau kenyataan fitnah yang serupa, selain membuat permohonan maaf di laman sosial.

“Bahkan saya juga meminta dia hadir ke sidang akhbar pada hari ini untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Malangnya dia tidak hadir. Notis sudah dihantar kepadanya, malah cubaan menghubunginya juga gagal. Peguam dia ada memaklumkan akan menghubungi kami tetapi sampai sekarang tiada sebarang perkembangan.

“Oleh itu saya dan suami sepakat memberi tempoh sehingga pukul 6 petang ini kepada dia untuk membuat permohonan maaf dalam apa jua bentuk. Dia boleh membuat permohonan maaf di laman sosial tetapi lebih baik sekiranya datang bersemuka dengan kami,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.

Tambah Che Ta, sekiranya Muhammad Riduan tidak tampil selepas tempoh diberikan petang ini, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya amat kesal dengan keengganannya untuk tampil pada hari ini walaupun semua kenyataan yang dikeluarkan di media sosialnya berunsur fitnah dan memalukan saya.

“Saya cuma mahu dia buat permohonan maaf sahaja, malah memberi peluang tambahan sehingga 6 petang ini. Sekiranya dia berdegil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Che Ta bagaimanapun menjelaskan, tujuan beliau mengadakan sidang akhbar pada hari ini adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat supaya jangan menyalahgunakan media sosial dengan menabur fitnah sehingga memalukan dan menjatuhkan reputasi orang lain.

Malah beliau berharap pengguna media sosial menghentikan budaya menularkan keburukan orang lain kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak baik.

“Saya akui berasa kecewa, sedih, tertekan dan malu apabila membaca komen netizen di laman sosial yang kebanyakannya mencaci saya. Sedangkan orang tidak tahu kebenaran.

“Kontroversi ini adalah yang paling teruk pernah terjadi kepada saya. Ia bukan sahaja menjejaskan nama dan reputasi bahkan turut memberi impak kepada perniagaan yang saya usahakan. Dia perlu ingat, tindakan yang dilakukannya ini bukan sahaja memberi kesan terhadap saya seorang tetapi juga kepada pekerja lain,” ujarnya. 

Pada 6 Mac lalu, Muhammad Riduan menerusi akaun Facebooknya mendedahkan pelakon itu tidak membuat bayaran gaji sebanyak RM2,000 dan menulis perkataan berbentuk provokasi di laman sosialnya.

Che Ta kemudiannya telah melunaskan bayaran gaji bekas pemandunya pada 7 Mac, namun pada masa sama mendedahkan akan mengambil tindakan undang-undang kerana lelaki itu memfitnahnya selain meminta Muhammad Riduan membuat permohonan maaf.

Sehari selepas itu, Muhammad Riduan pula tampil dengan kenyataan enggan membuat sebarang permohonan maaf seperti dituntut aktres itu kerana mendakwa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan. - K! ONLINE