Kedua-dua figura itu bakal muncul menerusi filem bergenre seram masing-masing. Biarpun bebanan yang dipikul kedua-duanya tidak setara, namun mereka mempunyai persamaan jiwa mahu yang terbaik menerusi naskhah masing-masing.

Syamsul bakal muncul menerusi Munafik 2 pada 30 Ogos ini. Filem yang sememangnya ditunggu-tunggu pecinta filem Munafik sebelum ini.

Sementara si cantik, Aprena pula bakal muncul menerusi filem pertamanya iaitu Jodoh Syaitan yang akan memulakan penggambaran sepenuhnya di Kelantan pada 18 Julai ini.

Ikuti temu bual mereka selanjutnya menerusi ruangan Kopitiam minggu ini.

Bakal muncul dengan filem masing-masing, apakah yang kalian boleh kongsikan mengenai filem tersebut?

SYAMSUL: Selepas dua tahun tayangan filem Munafik pada Februari 2016, saya kembali dengan naskhah Munafik 2. Ada yang menyifatkan saya ambil masa yang lama untuk hasilkan Munafik 2, tetapi saya mahukan yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila penonton menjangkakan yang lebih baik untuk filem ini.

APRENA: Jodoh Syaitan merupakan filem pertama saya dan apa yang lebih menyeronokkan apabila dipilih menyandang watak utama dalam filem seram itu. Saya berterima kasih pada penerbit, Asey dan pengarah, Bob Ismail kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya yang merupakan pelakon baharu untuk menyandang watak utama filem berkenaan.

Apakah tekanan yang dihadapi kalian sebelum menjayakan filem berkenaan?

SYAMSUL: Selepas filem Munafik mencipta kejayaan, sudah tentu penonton mahukan yang lebih daripada Munafik 2. Di situlah wujudnya tekanan. Saya perlu lebih teliti dalam menghasilkan Munafik 2 dan ketelitian itu kadang-kadang membebankan saya. Namun, demi menghasilkan karya yang luar biasa, saya kena terima semua tekanan yang datang.

Apa yang penting, saya harus menghasilkan karya yang dekat dengan penonton. Saya juga harus meletakkan diri sebagai penonton yang mana mahukan kepuasan selepas menonton sesebuah karya itu. Saya sudah curahkan segala-galanya untuk Munafik 2. Apa yang saya boleh katakan, Munafik 2 lebih berat. Sarat elemen seram dan dakwah. Walaupun ada tiga adegan dipotong, namun ia tidak menganggu jalan cerita. Saya juga ada meminta pandangan daripada ustaz untuk filem ini.

APRENA: Sejujurnya, saya seorang yang sangat lemah semangat, takut pada gelap dan mudah terkejut. Jadi, memang cabaran bagi saya untuk menerima naskhah ini. Namun, saya kuatkan hati menerimanya untuk mencabar diri.

Apakah cabaran kalian dalam menjayakan watak dalam filem masing-masing?

SYAMSUL: Objektif pertama saya dalam menghasilkan filem Munafik 2 adalah dakwah. Genre seram jatuh nombor dua. Maka, menjadi cabaran saya untuk menyeimbangkan dua elemen tersebut di dalam karya saya. Insya-Allah penonton akan dapat rasa elemen dakwah yang saya cuba ingin sampaikan selain seram semata-mata.

Untuk watak pula, ada beberapa babak yang beri banyak cabaran kepada saya untuk menjayakannya. Salah satu daripadanya, babak ketika mengubati Maya dan juga babak ketika saya diseksa.

APRENA: Saya bawa watak sebagai Mawar, seorang perempuan yang dihidupkan semula. Untuk kekal hidup selama-lamanya, dia perlu mencari cinta.

Menjadi cabaran saya apabila melakonkan watak puntianak yang kebanyakan babaknya banyak dilakukan di atas pokok. Maka, ada banyak aksi lagak ngeri yang akan dilakukan. Walaupun ini adalah kali pertama saya melakonkan watak sebegitu, namun saya ingin buktikan yang saya mampu.

Bergandingan dengan Maya Karin, apakah yang boleh dikongsikan Syamsul? Untuk Aprena pula, apakah perasaan bergandingan dengan pelakon otai seperti Fauziah Nawi dan Soffi Jikan?

SYAMSUL: Memang sudah lama saya teringin untuk bekerjasama dengan Maya. Alhamdulillah dia terima pelawaan saya untuk berlakon dalam Munafik 2. Apa yang saya boleh katakan, Maya seorang pelakon yang sangat bagus dan profesional. Apa yang saya minta dia berikan sehabis baik. Malah, bagi saya karakter Maya dalam Munafik 2 disifatkan paling berat dan mencabar pernah dibawanya.

APRENA: Saya sangat berbesar hati dapat berlakon dengan pelakon berbakat seperti Fauziah Nawi dan Soffi Jikan. Mereka merupakan pelakon yang sangat bagus dan tidak kedekut ilmu. Banyak bagi tunjuk ajar pada saya.

Selain daripada filem berkenaan, apakah projek seni lain yang kalian usahakan?

SYAMSUL: Selepas Munafik 2, saya akan bergiat aktif di laman YouTube. Saya mahu luahkan karya muzik di situ. Jadi tidaklah mengharap pada radio semata-mata untuk memutarkan lagu-lagu saya.

APRENA: Saya dapat tawaran filem Jodoh Syaitan dan sebuah drama pada masa yang sama. Maka, saya ambil masa selama seminggu untuk memikirkan kedua-dua tawaran tersebut.

Selepas mempertimbangkannya, saya memilih filem kerana ia merupakan peluang kali pertama yang saya peroleh. Rugi kiranya kalau saya mensia-siakannya. Namun begitu, selepas saya menolak drama berkenaan, saya masih memperoleh rezeki berlakon dalam drama tersebut kerana mereka tetap menginginkan saya. Maka, selepas saya habis penggambaran filem Jodoh Syaitan, saya akan mula penggambaran drama Mr. Ferrari VS Miss Lamborghini.

Selain yang diusahakan kini, apakah lagi kepuasan yang ingin dicapai kalian?

SYAMSUL: Kalau dari segi filem, saya sudah menghasilkan filem epik seperti Mat Kilau. Bagaimanapun, saya mengimpikan untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih besar. Sebagai contoh cerita mengenai peperangan seperti Pearl Harbor.

APRENA: Selain berlakon, kalau boleh saya juga mahu digelar sebagai hos dan penyanyi. Saya juga minat menyanyi tetapi kena belajar vokal dulu sebelum bergiat aktif dalam bidang berkenaan.