Bermula dengan Tiada Lagi Cinta yang dipetik daripada album double-header (perkongsian) bersama kumpulan V.E, Extreme Pleasure, langkah mereka semakin besar dalam industri apabila single Khayalan mula dimainkan di stesen radio komersial.

Sebagai kumpulan yang pada waktu itu dilabel peminat berhaluan urban, Ruffedge dilihat bijak mengumpan khalayak dengan merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Black Dog Bone itu.

Tidak bersandarkan kepada populariti semata-mata, bakat Ruffedge juga diiktiraf oleh juri profesional apabila mereka dipilih sebagai Artis Harapan menerusi Anugerah Industri Muzik ke-10 pada 2003.

Karier Ruffedge dilihat terus cemerlang dengan penerbitan dua buah album studio iaitu Defined (2004) dan Ruffera (2005).

Bagaimanapun, kerancakan karier mereka pudar apabila anggotanya pada waktu itu, Cat Farish, 44, atau nama sebenarnya, Farrish Zaquan Ramli, Zain Hamid (Mohd. Kamaruzaman Zain Abd. Hamid), 40, Azan Addin (Azan Addin Abd. Wahab), 44, Mode (Syed Mohammad Syed Abdullah), 42, dan Sein (Syed Hussein Syed Mustafa Al-Qudsy), 35, memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya masing-masing. Justeru, pada tahun 2008, kumpulan Ruffedge dibubarkan.

Barangkali ada yang berpendapat Ruffedge akan berkubur sementelah Cat begitu aktif sebagai pelopor kumpulan baharunya, The Fabulous Cats, manakala Zain pula sibuk dengan kerjaya lakonan.

Namun siapa sangka, selepas 10 tahun menyepi daripada dunia hiburan, kumpulan yang pernah dinobatkan sebagai Artis Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular 2005 itu kembali berkumpul dan merencanakan sebuah konsert kemunculan semula pada Sabtu lalu.

Diberi judul Ruffedge: 20th Anniversary, konsert yang berlangsung di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur itu bukan sahaja berjaya memperlihatkan mereka kembali beraksi di atas satu pentas, malah membuktikan kesetiaan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya mereka tanpa berbelah bahagi.

Tiada sebarang gimik mahupun persembahan pembukaan daripada artis jemputan, Ruffedge terus melompat naik ke atas pentas sambil menyanyikan lagu pertama mereka iaitu Da Bomb.

Mengenakan busana mirip zaman kegemilangan mereka dahulu, lengkap bertopi dan jaket berwarna-warni, masing-masing begitu bertenaga dalam mendendangkan lagu yang dipetik daripada album Ruffera tersebut.

Meneruskan hangat persembahan pada malam tersebut, Ruffedge menghadiahkan peminat dengan Tiada Lagi Cinta sebelum menyanyikan lagu Baby Girl dan Rufflove.

Menerusi medley R&B, iaitu rangkaian lagu-lagu kegemaran Ruffege seperti In The Still Of The Night, All My Life, I Care About You dan 5 Steps, penyanyi Nine dijemput untuk menyanyi bersama.

Signifikan Nine dijemput di atas pentas adalah bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu pernah menganggotai Ruffedge sekitar tahun 2007 iaitu setahun sebelum kumpulan berkenaan dibubarkan.

Kejutan

Bagi yang mengikuti perkembangan terkini Ruffedge, mereka pernah memberitahu bahawa anggota asalnya, Amer Munawer atau Amer Munawer Yusoff, 40, tidak turut serta dalam pembentukan semula kumpulan tersebut.

Namun, Ruffedge pernah berkongsi yang Amer akan dijemput untuk menyanyi pada konsert yang telah dirancang sejak tahun lalu itu.

Menunaikan janji, pada slot lagu ketiga iaitu menerusi lagu Kasih & Percaya, Amer muncul di atas pentas dan menyanyi bersama anggota Ruffedge yang lain.

“Ini semua mampu terjadi kerana anda sentiasa memberikan kasih dan kepercayaan,” ujar Amer ringkas.

Sein pula berkata, momen itu bakal diingati sampai bila-bila.

“Setahun atau dua tahun akan datang, momen ini yang akan diingati,” katanya sambil disambut dengan jeritan 3,000 penonton yang hadir.

Kejutan pada malam tersebut diteruskan apabila Ruffedge mengundang penyanyi Jaclyn Victor ke atas pentas.

Menyanyikan bersama lagu duet berjudul Kerinduan, peminat buat julung kali dapat menyaksikan mereka melantunkan suara secara langsung, memandangkan single berkenaan tidak pernah dinyanyikan pada sebarang majlis sebelum ini.

Selepas Jac, penyanyi Pat Innuendo pula dijemput untuk sama-sama mendendangkan lagu Belaian Jiwa sebelum Ruffedge mendedikasikan Lelaki buat sahabat mereka yang telah pergi menghadap Ilahi.

Untuk set seterusnya, Ruffedge memulakan kembali persembahan dengan lagu berhantu mereka, Tipah Tertipu. Dipetik daripada album Defined, penonton yang hadir turut sama menyanyi dan bergoyang mengikut rentak lagu tersebut.

Lagu baharu

Masih bernostalgia dengan penonton, Ruffedge meneruskan persembahan dengan mendendangkan Lemas, lagu yang pernah dimuatkan dalam album terakhir mereka, Ruffera.

Pada konsert berkenaan juga, Ruffedge tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan single baharu berjudul Seperti Mereka.

Meneruskan persembahan dengan lagu berentak perlahan, Ruffedge tidak ketinggalan untuk menyanyikan lagu Bila Rindu, lagu yang boleh disifatkan sebagai lagu cari makan mereka sebelum mengakhiri persembahan dengan Khayalan.

Ternyata penantian penonton berbaloi memandangkan persembahan Ruffedge pada konsert reunion mereka padat dengan lagu-lagu lama yang mampu untuk mencuit nostalgia.

Mutu vokal setiap anggota kumpulan juga masih kedengaran sama walaupun mereka tidak seaktif seperti zaman muda.

Kredit harus diberikan kepada pengarah muzik iaitu Datuk Acis yang menghidupkan kembali lagu-lagu Ruffedge menerusi susunan muzik moden masa kini.

Biarpun lokasinya tidak sehebat sebuah stadium, namun sistem bunyi yang diuruskan oleh pengarah konsert, Jennifer Thompson tempoh hari tetap berada dalam kelas tersendiri.

Benar kata pepatah, benih yang baik kalau dicampak ke mana sekalipun akan tetap bertumbuh sebagai pulau. Begitu juga dengan Ruffedge.

Sungguhpun usia mereka sebagai sebuah kumpulan kini telah menginjak ke angka 20 tahun, namun jenama Ruffedge dan karya-karya mereka masih kedengaran mahal dan dihargai, khususnya dalam kalangan peminat.

Berlangsung pada Sabtu lalu di KL Life, Life Centre, Kuala Lumpur, Konsert Ruffedge: 20th Anniversary, Ruffedge telah mengembalikan zaman kegemilangan peminat menyokong produk tempatan dengan begitu luar biasa.