Paduan tersebut terus terjalin dan kali ini menerusi naskhah yang ditunggu-tunggu oleh peminat filem aksi iaitu Men In Black: International (MIB: International). Dalam filem tersebut, Chris melakonkan karakter Ejen H, manakala Tessa menghidupkan watak Ejen M.

Berpeluang menjadi antara orang terawal menonton filem arahan pengarah, F. Gary Gray itu di MBO Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, ternyata kecemerlangan daripada peranan dua watak francais filem adiwira popular terbabit dibawa ke Men In Black: International yang mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 14 Jun (Khamis) lalu.

Menerusi temu bual yang dimuat naik dalam akaun rasmi YouTube Sony Pictures Entertainment, Chris dan Tessa berkata, mereka sangat gembira kerana digabungkan semula di layar perak.

“Saya rasa Chris tiada masalah dengan babak memegang senjata. Saya difahamkan dia dan adik-beradiknya, Luke dan Liam membesar dengan bermain senjata mainan sejak kecil. Itu yang saya diberitahu olehnya,” kata Tessa atau nama lengkapnya, Tessa Lynn Thompson, 35.

Gila

Dalam pada itu, Chris mencelah: “Saya dan Tessa amat seronok dapat berlakon bersama dalam filem Thor dan Avengers. Dari situ, kami sudah mempunyai keserasian dan tali persahabatan yang akrab kerana sudah mengenali antara satu sama lain.

“Kami mempercayai antara satu sama lain. Senang ingin membuat perubahan secara spontan dan jika berlaku kesalahan ketika berlakon, kami tahu memperbaikinya dengan pantas. Dapat bekerjasama dalam MIB: International umpama mimpi menjadi kenyataan kerana kami berdua amat meminati francais filem ini.”

Melanjutkan bicara mengenai MIB: International ujar Tessa, biarpun seronok bergandingan dengan Chris, namun timbul kebimbangan dia berkemungkinan akan dipecat daripada melakonkan watak ejen perisik kerana sikap gila-gila mereka di set penggambaran.

“Disebabkan kerap melakukan perubahan secara spontan dalam lakonan di set penggambaran, timbul juga kerisauan yang kami mungkin akan dipecat kerana sikap gila-gila ketika bekerja.

“Sebenarnya setiap kali selepas menyelesaikan satu-satu babak, pasti terlintas di fikiran bahawa kami berdua tidak akan dipanggil berlakon lagi (ketawa),” kata Tessa.

Chris yang merupakan aktor dari Australia bagaimanapun percaya sebelum menempa sebarang kejayaan dalam sesuatu yang dilakukan seseorang itu perlu memiliki pemikiran di luar kotak yang kadangkala memperlihatkannya seperti orang tidak siuman.

“Memang hiruk-pikuk di set penggambaran, namun seperti yang dikatakan, antara kami nilai kepercayaan itu begitu utuh dan tidak akan luntur,” kongsi Chris, 35.

Melancong

Meneruskan perbualan, Tessa berkata, peluang bekerjasama dengan pelakon berkaliber, Emma Thompson yang melakonkan watak ketua MIB iaitu Ejen O, sebagai satu penghormatan besar.

“Saya merupakan peminat tegar Emma. Ketika hari pertama penggambaran, saya tergamam kerana bukan sahaja dapat berjumpa, tetapi turut berlakon dengannya.

“Emma seorang yang sangat baik hati dan banyak memberikan tunjuk ajar. Dia bukan sahaja pelakon yang hebat, malah seorang wanita kaya dengan pesona luar biasa,” kata Tessa melempiaskan keterujaannya.

Disuakan pertanyaan tentang perkara paling menarik sepanjang menjalani penggambaran filem MIB: International, Chris berkata, dia gembira dapat menjelajah beberapa buah negara bersama Tessa dan rakan pelakon lain.

“Seronok dapat pergi bercuti sambil bekerja ke negara seperti Morocco, Itali, Perancis dan London, England. Rasa nikmat dapat pergi ke sesuatu destinasi yang berlainan budaya, adat resam dan segala perbelanjaan ditanggung (ketawa),” ulas Chris ringkas.

Perkara tersebut dipersetujui Tessa, katanya: “Saya pun sama. Jika ada masa rehat saya akan berlari pergi membeli-belah. Banyak barang istimewa yang saya beli di Morocco.”

Diajukan soalan cepumas sama ada terdapat kemungkinan, Ejen M dan H akan menangkap Thor dan Valkyrie kerana kedua-dua watak tersebut berasal dari angkasa lepas, soalan itu bagaimanapun dijawab oleh pelakon yang meminjamkan suaranya untuk watak makhluk asing yang mencuri tumpuan ramai, Pawny iaitu Kumail Nanjiani.

Katanya bersahaja: “MIB bukan sekadar menangkap makhluk di angkasa lepas, tetapi mereka yang berperwatakan jahat.”

Chris yang agak pelik dengan soalan tersebut pula menjelaskan: “Saya tiada jawapan pada soalan itu. Jika difikir secara logik bagaimana saya ingin menangkap diri sendiri kerana kedua-dua watak itu (Ejen H dan Thor). dipegang oleh saya.”

CGI

Sementara itu, Kumail sangat berbesar hati kerana terpilih dan diberi kepercayaan meminjamkan suaranya untuk watak Pawny yang meraih pujian ramai kerana sisi lucu dipamerkan dalam filem tersebut.

“Saya memang mengikuti filem MIB sejak sekuel pertama. Ketika pengarah menghubungi saya dan menawarkan watak Pawny, saya seperti tidak percaya sampaikan hampir menolaknya.

“Selepas pengarah menjelaskan mengapa saya dipilih (dia mahukan seorang pelawak), barulah saya bersetuju. Hal ini kerana, saya tidak pernah terlibat dalam projek filem francais tambahan pula, watak saya banyak bermain dengan teknik janaan komputer (CGI),” kata Kumail, 41.

Buat pengarah, F. Gary Gray dia juga sangat berbangga dan gembira kerana diberi kepercayaan untuk mengarah filem terbaharu francais MIB yang disifatkan sangat berharga.

“Saya sangat seronok mengarah filem pertama bergenre komedi, Friday pada 1992. Kemudian filem terakhir The Fate Of The Furious pada 2017 yang menjual elemen aksi.

“Menerusi MIB: International saya dapat menggunakan kredibiliti sebagai pengarah kerana menggabungkan elemen komedi, aksi dan sains fiksyen. Saya tidak pernah mengarahkan filem sains fiksyen dan ini satu pengalaman yang sangat mengujakan,” katanya menggulung bicara.

Dari dunia Asgardian, Chris Hemsworth dan Tessa Thompson terus menjalin keserasian. Kali ini dalam filem sains fiksyen penuh aksi, Men In Black: International.