Apatah lagi sebelum sidang akhbar pengumuman, barisan pelakon filem terbitan D’Edge Communication Sdn. Bhd. tersebut telah dicabar untuk mengalami sendiri adrenalin aksi lasak dengan menaiki kereta rali di litar khas Movie Animation Park Studios (MAPS) Meru, Ipoh di Perak baru-baru ini.

Impak daripada cabaran, waktu sidang akhbar terpaksa dilewatkan daripada waktu asal demi memberi ruang kepada Akim Ahmad, Hazama dan Dayana Roza melepaskan gemuruh dalam dada.

Menjadi filem aksi komedi arahan Helmi Yusof, sekali gus naskhah pertama yang menyaksikan gandingan trio selebriti itu berkenaan di layar perak, bahkan karya tersebut juga memberikan makna buat persahabatan Akim dan Hazama kerana kali pertama menyatukan mereka dalam sebuah judul.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 35, bukanlah wajah asing dalam dunia lakonan, sementelah pelantun Relakan Jiwa itu pernah menjayakan beberapa filem termasuklah yang terbaharu, Tiada Tajuk arahan Mawi.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam filem Marabahaya Underground, Hazaman yang menjayakan watak seorang pakar pelumba kereta lagak ngeri bernama Shah Dani, mengakui gementar berbaur teruja.

“Saya tidak boleh menipu antara faktor menerima tawaran berlakon dalam filem ini adalah penglibatan Akim dan watak yang bakal saya jayakan akan melibatkan interaksi antara kami berdua.

“Faktor seterusnya sudah tentu menyahut cabaran membawakan watak sebagai pelakon lagak ngeri. Sebelum ini saya pernah menjayakan watak dalam karya cinta, memandangkan filem kali ini bertemakan aksi, jadi saya tidak sabar untuk memulakan penggambaran,” getusnya penuh semangat.

Kelajuan

Bersetuju untuk membawakan watak sebagai Shah Dani iaitu pelumba kereta lagak ngeri, Hazama perlu membuat persediaan mental dan fizikal. Selain tidak gentar dengan kelajuan, Hazama juga dalam misi mencipta karakter Shah yang tersendiri.

“Saya mahu watak Shah Dani yang realistik. Saya akan membuat persediaan rapi dan mencipta karakter bersesuaian dengan tuntutan skrip.

“Sebenarnya, saya agak gelisah memikirkan kemampuan untuk melakukan aksi lagak ngeri. Saya tidak gentar dengan kelajuan tetapi gementar memikirkan aksi yang bakal dilakukan dalam filem berkenaan,” katanya.

Lain pula debaran buat pelantun Mewangi, Akim yang sememangnya aktif dalam sukan lumba kereta. Dia tetap enggan memandang enteng tugas mendukung watak Fison Hamidi. Demi komitmen menzahirkan watak Fison Hamidi sebagai pelajar kolej berusia awal 20-an, Akim terlebih dahulu mengorbankan bentuk fizikalnya supaya kelihatan kurus.

Mengalami penurunan berat badan daripada 75 kilogram menjadi 62 kilogram, Akim berharap mampu mengekalkan berat badan tersebut sehingga tamat penggambaran kelak.

“Saya telah diberitahu bakal menjayakan watak sebagai seorang pelajar kolej yang amat meminati sukan lumba kereta lasak dan ngeri. Oleh kerana itu, saya sanggup menurunkan badan untuk mendapatkan bentuk badan ideal pelajar kolej,” kongsi penyanyi berusia 28 tahun itu.

Terbabit aktif dalam perlumbaan kereta bukan alasan bagi Akim untuk tidak berasa gementar dalam melunaskan wataknya dalam filem Marabahaya Underground.

Apatah lagi judul tersebut merupakan penampilan pertamanya di layar perak, Akim secara peribadi mahu filem berkenaan memberikan impak terhadap kerjayanya.

“Saya sememangnya terbabit aktif dalam perlumbaan kereta. Namun, filem ini berbeza kerana turut melibatkan aksi. Saya tidak boleh memandang ringan tanggungjawab ini kerana Marabahaya Underground adalah cabang berbeza dalam sukan permotoran telah disertai,” katanya.

Watak berbeza

Menjadi satu-satunya bunga di tengah litar, Dayana Roza pula bersedia untuk melakukan aksi lasak sekiranya diminta oleh pengarah.

Sering terbabit aktif dalam filem melibatkan perlumbaan motosikal, Dayana yang menjayakan watak sebagai Amira juga ingin segera memulakan penggambaran.

“Saya sudah menjayakan watak sebagai minah rempit, kali ini diberikan watak sebagai pelumba kereta sudah tentu saya tidak sabar,” katanya.

Pelakon filem Minah Moto dan Mat Moto Otai itu berkata, dia bagaimanapun enggan menjayakan watak tersebut sekiranya perlu beraksi kasar. Sebaliknya, mahu kekal sebagai wanita feminin tetapi meminati sukan lasak.

“Menerusi watak Amira, saya tidak perlu mengubah karakter menjadi wanita kasar atau berperwatakan seperti lelaki. Watak Amira dalam filem ini sangat feminin, penuh dengan sifat kewanitaan, tetapi seorang pelumba litar.

“Watak sedemikian lebih unik berbanding karakter yang pernah saya jayakan sebelum ini,” dedahnya.

Selain trio Hazama, Akim dan Dayana Roza, filem itu juga dijangka melibatkan selebriti seperi Alvin Chong, Santesh dan Fatin Afeefa.

Lebih mengujakan, Akim dan Hazama akan menyanyikan sebuah lagu baharu sebagai runut bunyi bagi filem berkenaan.

Filem Marabahaya Underground merupakan kerjasama industri perfileman tempatan dan kerajaan negeri Perak akan menjalani penggambaran sekitar negeri itu terutama di Ipoh.

Marabahaya Underground juga mendapat hak eksklusif menggunakan setiap kemudahan terutama litar di MAPS sepanjang penggambaran.

Tiga pelakon utama filem Marabahaya Underground mencabar keupayaan diri apabila bersetuju menjayakan filem bertemakan aksi dan lagak ngeri sukan permotoran lasak.