Kata Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, dia mengalami kecederaan berkenaan yang menyebabkan otot betisnya terkoyak.

"Kecederaan ini berlaku ketika saya menjalani penggambaran The Bridge semalam. Waktu itu, saya sedang melakonkan babak berlari dari kapal ke bumbung bangunan dan kemudian terdengar bunyi seakan otot terkoyak.

"Kaki kejang dan kru penggambaran terpaksa menbawa saya untuk mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru," kata Bront, 40, ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis pra-tonton filem One Two Jaga.

Jelas Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu lagi, selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnetik (MRI), dia dinasihatkan doktor untuk berehat selama dua minggu.

“Menerusi ujian (MRI) doktor kata betis kanan terkoyak. Sekarang ini, pada bahagian betis kanan terdapat darah beku sebesar pembaris.

“Doktor meminta saya buat fisioterapi dan berehat selama dua minggu. Namun saya hanya berehat selama lima hari kerana perlu menyelesaikan baki penggambaran siri berkenaan," kata Bront.

Tambah Bront lagi, doktor memberitahu dia hanya boleh berjalan seperti biasa selepas dua minggu dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian.

"Ini adalah kecederaan yang paling teruk pernah dialami sepanjang terbabit dalam bidang lakonan. Ia adalah ujian yang perlu dilalui ketika sibuk mempromosikan filem One Two Jaga,” katanya.

One Two Jaga arahan pengarah Nam Ron yang turut dilakonkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu dan Asmara Abigail mula ditayangkan di pawagam pada 6 September 2018. - K! ONLINE