Rekod tersebut sekali gus meletakkan kutipan BBBM2 sebagai tertinggi di Malaysia berbanding animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studio, Nizam Abdul Razak yang penerbit dan pengarah BBBM2 berkata, terharu dengan sambutan rakyat Malaysia terhadap filem berkenaan.

“Kami amat teruja dengan pencapaian BBBM2 kerana berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi semua filem animasi di Malaysia. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih.

“Filem ini telah ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Terima kasih kepada semua yang menyokong BBBM2,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan BBBM2 membuktikan industri animasi tempatan mampu untuk bersaing dengan filem animasi antarabangsa.

“Kami berpendapat ini merupakan perkembangan yang sangat baik terhadap industri filem tempatan dan menunjukkan filem animasi Malaysia mampu bersaing dengan filem animasi antarabangsa,” katanya.

BBBM2 sudah memasuki minggu keempat tayangan dan masih menduduki carta lima keatas jumlah kutipan mingguan pawagam di seluruh negara. - K! ONLINE