Golongan artis juga mampu menjadi suara kepada masyarakat selain boleh memainkan peranan membantu kebajikan tidak mengira status.

Atas dasar aelebriti mereka itu, penyanyi Black Hanifah atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah berkongsi pengalamannya bertemu dengan seorang peminat cilik yang merupakan pesakit kronik.

Black berkesempatan meluangkan masa bertemu dengan Siti Nur Maisara Mohd. Yusoff, 14, yang menghidap tiga jenis penyakit iaitu masalah penghadaman, kencing manis dan cystic fibrosis (fibrosis sista) iaitu penyakit paru-paru kronik.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman Siti Nur Maisara di Flat Sri Kedah, Taman Melati, Gombak baru-baru ini.

Selain berbicara tentang kunjungan itu, Black turut berkongsi perkembangan terkini kariernya yang bakal muncul dengan dua buah lagu baharu.

KOSMO!: Boleh Black ceritakan sedikit tentang pertemuan anda dengan peminat cilik ini?

BLACK HANIFAH: Saya ambil kesempatan untuk berjumpa dengan seorang peminat cilik yang merupakan pesakit kronik, adik Maisara selepas mendapat tahu dia mahu berjumpa saya menerusi laporan berita di sebuah akbar baru-baru ini.

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju kerana berasa ini satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang selebriti. Apabila ada peminat istimewa sepertinya mahu berjumpa, jangan fikir panjang.

Apa komen anda apabila dapat terlibat dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti ini?

Saya memandang peluang ini sebagai satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan tidak kira masa dan ketika.

Sebelum ini saya pernah dipanggil untuk bertemu dengan peminat yang sakit, tetapi pada waktu itu hati tidak tergerak untuk cepat-cepat melaksanakan impian peminat tersebut. Kalau mahu kata sibuk, waktu itu tidaklah sesibuk mana.

Dek suka menangguh-nangguhkan niat tersebut, akhirnya saya langsung tidak berkesempatan untuk bertemunya selepas mendapat berita dia sudah meninggal dunia. Kejadian itu membuatkan saya agak terkilan dan tidak mahu ia kembali berulang. Sebab itu sekarang saya tetap curi masa untuk adik Maisara.

Setidak-tidaknya kehadiran saya bertemu dia dapat menceriakan dan memberi semangat untuknya meneruskan hidup.

Apakah pelajaran yang anda perolehi daripada aktiviti sebegitu?

Sebagai bapa, ia menyedarkan banyak perkara tentang kasih sayang dan pengorbanan keluarga. Kalau anak saya demam sedikit pun sudah membuatkan saya risau bukan kepalang, apatah lagi bagi golongan ibu atau bapa yang mempunyai anak dengan pelbagai jenis penyakit kronik seperti ini.

Saya kagum dengan semangat ibu bapa yang berhadapan dengan ujian sebesar ini dan tidak semua mampu melaluinya dengan sabar.

Mungkin ada sesuatu yang anda mahu kongsikan kepada rakan artis lain tentang aktiviti sebegini?

Saya menyeru semua rakan-rakan artis agar ambil peluang yang ada seperti ini untuk mendekati peminat istimewa kita.

Kalau ada peminat seperti adik Maisara mahu jumpa, pergilah berjumpa dan luangkan sedikit masa walaupun cuma lima minit.

Sebab kalau tanpa peminat, kita juga tidak mampu mengadakan persembahan untuk mengumpul kewangan. Daripada situ kita juga tidak mampu membina keluarga. Jadi hargailah peminat kita tidak kira siapa pun mereka.

Sedikit perkembangan terkini karier anda?

Saya akan berangkat ke London untuk mengadakan persembahan anjuran UMNO London dan berada di sana selama enam hari.

Selain itu, sebuah lagu baharu saya berduet dengan Syamsul Yusof telah akan dilancarkan di YouTube pada hari ini. Lagu tersebut merupakan lagu tema untuk filem KL Special Force.

Selain itu, saya bakal muncul dengan sebuah lagi lagu baharu iaitu Seruanmu.