Telemovie sempena Hari Raya Aidilfitri itu mengetengahkan tentang kehidupan Rudy (lakonan Aiman Hakim Redza) dan Lydia (Sharifah Sakinah) yang berhadapan pelbagai konflik dalam menempuh alam rumah tangga.

Selain menampilkan dua tunjang utamanya iaitu Aiman dan Sakinah, barisan pelakon seperti Ungku Hariz, Fiza Thomas dan Sharifah Shahora turut terlibat menjayakan telemovie arahan Helmy Yusof ini.

Pengarahnya, Helmy memberitahu, Bini Aku Dari... memaparkan kelainan yang tersendiri untuk dipertontonkan kepada penonton selain mempunyai unsur komedi yang lebih banyak.

“Jalan penceritaan telemovie ini agak menarik dan ia dekat dengan masyarakat kita.

“Selain sentimen kekeluargaan, saya gabungkan juga dengan elemen romantik dan pada masa sama ada babak sedih. Sememangnya ia sesuai ditonton seisi keluarga,” katanya yang berkongsi cetusan idea untuk membikin telemovie ini adalah setelah menerima maklum balas yang baik dan sambutan menggalakkan daripada drama Girlfriend Aku Dari Neraka sebelum ini.

Sementara itu, pelakon kacak, Aiman ketika diminta untuk memberi komen mengenai Bini Aku Dari... berharap telemovie berkenaan dapat diterima oleh segenap masyarakat.

“Saya harap telemovie ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat yang menontonnya kerana ia sebuah naskhah santai, namun terdapat unsur pengajaran.

“Saya juga ingin meminta maaf sekiranya lawak-lawak yang dipaparkan dalam telemovie ini agak ekstrem tetapi cubalah lihat pada mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Bini Aku Dari... mengisahkan tentang Rudy dan Lydia yang telah pun berkahwin.

Lydia kekal dalam mode bimboo demi memastikan Rudy tidak kembali menjadi playboy.

Menjelang Ramadan, Lydia bertekad untuk mendalami ilmu berkaitan ibadah, namun mengikut rujukan yang salah.

Rudy rimas dengan kelakuan Lydia dan mula buat perangai lagi. Lydia juga berusaha untuk hamil dan sangkakan dia hamil, namun Rudy belum bersedia untuk menjadi bapa.

Daripada situ, tercetus juga beberapa konflik dan perbalahan antara pasangan suami isteri itu.

Tidak sabar untuk mengetahui bagaimana pengakhiran telemovie ini, jangan lupa menonton Bini Aku Dari... pada pukul 4 petang ini di saluran Astro Warna.