Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan genre sebegitu dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan penonton di negara ini.

Berdasarkan sumber yang diperoleh, Yusof Kelana selaku pengarah memilih isu pelarian yang menjadi topik hangat global.

Kisah yang diadaptasi daripada cerita sebenar tersebut mengangkat kehidupan seorang wanita bernama Kien Bi Dong lakonan Livonia Ricky) yang dilahirkan di Pulau Bidong, Terengganu ketika ibunya, Hong Yen (Irene Wong) dan ribuan pelarian Vietnam ditempatkan di kem pelarian tersebut sekitar tahun 1970-an.

Nama Kien Bi Dong diambil sempena nama pulau yang memberi kehidupan semula bagi kesemua pelarian Vietnam ketika itu.

Sejarah hitam yang dilalui Hong Yen akibat peperangan di Vietnam meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya kerana kehilangan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.

Lebih parah lagi, suaminya juga meninggal dunia dan dikebumikan di pulau tersebut selepas diserang sakit jantung.

Selepas hampir 40 tahun meninggalkan pulau tersebut, Kien Bi Dong dan Hong Yen kembali menjejakkan kaki ke Pulau Bidong.

Janji yang diucapkan Hong Yen untuk sehidup semati menjadi kenyataan apabila wanita itu meninggal dunia di kubur suaminya akibat diserang penyakit asma.

Bahasa Tagalog

Pertama kali memegang watak utama, Irene Wong dilihat berjaya menjiwai watak dengan baik, malah lontaran dialog dalam bahasa Tagalog juga dilihat tiada cela.

Bagaimanapun, lontaran dialog oleh watak Adib (Taufik Hanafi) pada permulaannya dilihat seperti menghafal skrip tetapi lama kelamaan, Taufik mula selesa bertutur dalam bahasa Inggeris yang digunakan hampir 70 peratus dalam filem berkenaan.

Konsep imej janaan komputer (CGI) selama 40 minit yang digunakan dalam filem berkenaan terutama ketika penggambaran di laut, dilihat memberi impak tersendiri.

Bagaimanapun, kemunculan ikan paus menerusi teknik CGI yang berlegar-legar di sekeliling bot dinaiki pelarian Vietnam dirasakan seperti tidak masuk akal.

Menyentuh berkenaan kemasan suntingan, ada beberapa suntingan yang perlu diperbaiki Yusof kerana ia dilihat sedikit sebanyak mencacatkan keseluruhan filem yang menjalani penggambaran selama 26 hari tersebut.

Secara keseluruhan, filem yang mengangkat usaha Malaysia dalam menangani isu pelarian Vietnam, dikenali sebagai ‘The Boat People’ menerusi dua era yang berbeza dan menggunakan empat bahasa berlainan layak diberi pujian sewajarnya.