Kejayaan OTJ untuk disenaraikan dalam pencalonan bersama sembilan lagi karya terbaik Asia di festival filem yang bakal berlangsung di Warsaw, Poland dari 14 hingga 21 November depan ternyata membanggakan industri perfileman tempatan.

Bagi Nam Ron, pencalonan tersebut dianggap sebagai satu penghargaan besar buat dirinya dan kru produksi yang bekerja keras untuk menghasilkan filem OTJ.

“Pastinya saya berasa gembira namun sejujurnya, ini bukanlah kali pertama OTJ tercalon dalam festival filem luar negara kerana sebelum ini pernah dicalonkan di New York Asian Film Festival, Itali dan Shang Hai, China.

“Ini membuktikan penerimaan masyarakat luar yang menghargai filem kita dan peluang bersaing dengan sembilan lagi karya terbaik Asia adalah suatu penghormatan kerana Five Flavours Asians Film Festival bukan anugerah picisan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Five Flavours Asians Film Festival anjuran Arteria Art Foundation dengan sokongan Warsaw City Council, Polish Film Institute, Kementerian Kebudayaan dan Warisan Nasional Poland, Yayasan Jepun, Hong Kong Economic Trade Office, Create HK, HK Film Development Fund dan Asia-Europe Foundation (ASEF) merupakan festival berprestij yang menyokong pembangunan seni dan budaya menerusi apresiasi secara penjurian bagi filem kontemporari dari seluruh Asia dan Eropah.

Selain One Two Jaga, filem-filem tempatan lain yang pernah menembusi festival filem berkenaan adalah Bunohan, Interchange, Songlap, Hanyut dan Jagat.

Setakat tayangan sehingga hari Isnin, One Two Jaga hanya mampu meraih kutipan sebanyak RM65,000 yang ternyata jauh ketinggalan berbanding dua filem tempatan lain seperti Munafik 2 dan Hantu Kak Limah yang berjaya memecahkan rekod RM30 juta selepas seminggu tayangan.

Selain mengangkat realiti sosial, korupsi dan pendatang asing di tanah air, lebih besar One Two Jaga hanya secebis cerminan terhadap isu rasuah yang berlaku di dalam apa juga bidang bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. - K! ONLINE