Tidak mengalami sebarang alahan teruk pada peringkat awal kehamilan, Elvina, 23, turut meluahkan rasa syukur apabila proses bersalin juga dipermudahkan biarpun anaknya lahir lebih awal daripada jangkaan.

Tambah pelakon drama rantaian, Shhh... I Love You itu lagi, kehadiran anak sulung yang diberi nama Karl Mateen itu turut mengubah fokus hidupnya. Dia juga tidak menafikan, amanah baharu itu bakal menjadi sebab utama untuk lebih selektif dalam menerima tawaran bekerja selepas ini.

Buat masa sekarang, pemilik nama sebenar Zalina Mohamad itu bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan soal perancangan karier. Dia sebaliknya mahu menghabiskan tempoh berpantang dan menikmati fasa awal bergelar ibu terlebih dahulu.

KOSMO!: Boleh Elvina kongsikan pengalaman saat melahirkan anak pertama?

ELVINA: Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan tidak mengalami sebarang masalah. Tarikh sebenar saya sepatutnya bersalin adalah pada hujung tahun ini. Namun, sewaktu menjalani pemeriksaan minggu ke-36, pintu rahim saya sudah pun terbuka sebanyak dua sentimeter.

Memandangkan pada waktu tersebut, bayi belum cukup matang, saya dinasihatkan doktor untuk menunggu sehingga ke minggu ke-37 barulah proses bersalin boleh diteruskan.

Mulanya agak gementar kerana saya tidak mempunyai pengalaman, namun saya berasa sangat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan sangat mudah.

Apakah pengalaman yang paling anda tidak boleh lupakan sepanjang hamil atau bersalin?

Ada satu perkara yang saya tidak akan lupa. Saya berjaya melahirkan Karl tanpa menggunakan sebarang ubat tahan sakit dan merasai sendiri momen bersalin. Saya bernasib baik kerana sebaik sahaja air ketuban pecah, saya cuma menahan sakit selama 15 minit sebelum anak saya dilahirkan dengan berat 2.9 kilogram.

Bagi saya, ia pengalaman yang berharga kerana tidak ramai yang bertuah untuk tidak melalui sakit bersalin dalam tempoh singkat. Saya pernah dengar, ada ibu lain yang harus menahan kesakitan berjam-jam tetapi alhamdulillah, proses bersalin saya sekejap sahaja.

Bergelar ibu pada usia yang muda, bagaimanakah anda membuat persiapan untuk menjaga bayi?

Saya akui ia satu tanggungjawab yang besar. Sekarang saya mempunyai seorang anak yang bergantung sepenuhnya kepada diri ini untuk dicorakkan hidupnya. Atas sebab itu, saya banyak membaca sepanjang hamil dan sering bertanya kepada mereka yang memiliki pengalaman membesarkan anak.

Apa yang dirasakan baik dan sesuai, saya simpan sebagai panduan. Bagi saya, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk membentuk anak mereka jadi saya tidak mahu terikat hanya dengan satu pendekatan.

Berapa lamakah anda akan berehat daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada anak yang baru lahir?

Perkara itu masih dalam perbincangan, ia bergantung terhadap keadaan. Sesetengah bayi sangat manja dan tidak boleh berenggang dengan ibunya, jadi jika Karl begitu, mungkin tempoh berehat saya akan dipanjangkan sedikit.

Namun mengikut perancangan awal, sepatutnya selepas tempoh berpantang saya mahu bekerja semula.

Adakah anda akan lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon selepas bergelar ibu?

Ya, pastinya kerana anak akan menjadi keutamaan selepas ini. Mungkin buat sementara waktu, saya tidak akan mengambil tawaran yang memerlukan saya berada di set penggambaran tidak terlalu lama.

Saya seorang yang tidak suka menyusahkan orang jika sudah menerima sebarang komitmen, jadi setiap tawaran akan dibincangkan dengan pihak pengurusan dan suami terlebih dahulu.

Apa pula kata suami anda berhubung perkara berkenaan?

Alhamdulillah, dia seorang yang memahami dan menyokong apa sahaja keputusan yang saya ambil. Dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau menghalang minat saya kerana dia tahu, lakonan adalah perkara yang saya suka.