Bermula dengan penangkapan Aliff yang sedang berdua-duaan bersama dramatis Afifah Nasir di sebuah pusat karaoke pada 2017, kisah kecurangannya terus diperkatakan apabila Bella sendiri mendedahkan suaminya itu mengunjungi pusat hiburan bersama pelakon baharu Oktovia Manrose setahun kemudian.

Lahar yang mengalir dalam perkahwinan Aliff dan Bella sampai ke kemuncak apabila penyanyi lagu Sayang Sayang itu dikatakan curang dengan isterinya buat kali ketiga bersama seorang remaja perempuan bawah umur yang dikenali sebagai Nismell.

Ketegangan polemik rumah tangga yang dibina sejak 9 September 2016 itu akhirnya selesai apabila Aliff dan Bella bersetuju untuk bercerai secara baik dan membawa haluan masing-masing pada Khamis lalu.

Ketika ditemui Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, berkata, perpisahan merupakan jalan terbaik demi masa depan anak tunggal mereka, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Selain bercerita, Bella turut mendoakan agar Aliff dapat memperbaiki diri dan berubah menjadi orang yang lebih baik.

KOSMO!: Boleh kongsikan apakah yang menyebabkan Bella mengambil keputusan untuk bercerai?

BELLA: Sesungguhnya membina rumah tangga sama seperti kita membina masjid. Semua orang mahu kekalkan masjid yang terbina. Tetapi, kita hanyalah manusia biasa. Saya sudah mencuba yang terbaik walaupun ramai yang menuduh saya tiada akal selepas suami berlaku curang beberapa kali.

Bagi saya, kenapa tidak saya pertahankan? Sebab semua orang lakukan kesilapan dan perlukan kemaafan. Saya maafkan bekas suami kerana mungkin suatu hari nanti saya juga akan buat silap.

Cuma kali ini, biarlah saya putuskan untuk berpisah kerana tidak mahu hidup anak saya terus terpengaruh dengan hal-hal negatif. Namun, ingin saya tegaskan, apa yang terjadi, Aliff tetap ayah kepada Ayden.

Anda mengatakan suami anda curang. Jadi, adakah anda setuju dengan setiap gambar yang pernah tersebar sebelum ini?

Sekali dua, mungkin saya boleh terima. Tetapi, perkara sebegini sudah terjadi banyak kali. Tiada apa yang perlu saya ulas dan perpisahan adalah pilihan terbaik untuk kami.

Adakah beban anda telah berkurangan selepas bercerai?

Rasa beban berkurang itu ada, cuma siapa sahaja yang sukakan perpisahan? Saya berasa sedih kerana selama lebih tiga tahun mengenalinya, kami sudah melalui pelbagai ujian. Mungkin saya perlu ambil masa untuk melalui kehidupan yang baru.

Adakah anda masih sayangkan Aliff dan bersedia jika dia mahu rujuk kembali?

Tipulah jika saya katakan tidak sayang, tambahan pula saya sudah memiliki anak dengannya. Cuma, berilah ruang pada saya untuk bermuhasabah diri kerana saya bukanlah insan sempurna. Berkenaan dengan rujuk kembali, saya hanya berserah kepada Allah. Saya harap, keputusan ini dapat menjadikan saya lebih fokus pada anak dan Aliff juga dapat memperbaiki dirinya.

Apakah nasihat terakhir yang diberikan kepada bekas suami?

Saya bukanlah sesiapa untuk memberikan nasihat kepadanya. Cuma, saya doakan supaya dia boleh jalani hidup yang lebih baik dan berubah kerana dirinya sendiri. Sebab saya bukan lagi isterinya, jadi apa pun yang ingin dilakukan, dia perlu ingat ibu dan bapanya. Saya juga berpesan supaya jangan hiraukan netizen dan jangan sesekali menyesali keadaan dirinya sekarang.

Selepas ketiadaan suami, bagaimanakah anda mahu teruskan hidup memandangkan anda tidak bekerja?

Mungkin ramai yang tidak nampak, tetapi saya ada melakukan kerja-kerja belakang tabir seperti ulasan dalam Instagram. Cuma, saya masih tiada sebarang perancangan selepas ini.

SEMENTARA itu, Aliff Aziz yang ditemui usai melafazkan cerai terhadap bekas isteri dilihat tidak berhenti-henti mengalirkan air mata.

Dalam nada sebak, Aliff, 28, berkata, dia sentiasa akan mengingati pesan Bella kepadanya dan menyifatkan segalanya yang berlaku sebagai kifarah daripada Allah.

KOSMO!: Apakah komen Aliff terhadap perceraian yang berlaku?

ALIFF: Saya sudah hilang harap. Saya tahu ramai yang mengata, tetapi saya tidak mencari alasan kerana bekas isteri telah berikan yang terbaik. Mungkin ini adalah pengajaran untuk saya supaya dapat memperbaiki diri. Saya mohon maaf kepada semua terutamanya kepada Bella.

Bagaimana pula dengan kontroversi melibatkan anda dan beberapa orang wanita yang tular sejak kebelakangan ini?

Maaf, saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai hal itu. Apa yang saya ingin lakukan sekarang adalah memperbaiki diri. Itu pesanan Bella kepada saya.

Bagaimanakah rasanya beraya tanpa kehadiran isteri dan anak?

Perkara sudah berlaku, saya cuba kuatkan diri. Saya juga berharap agar orang ramai dapat terus doakan untuk kami.