Kata Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, dia belum mempunyai jawapan pasti tentang perasaannya kerana fokusnya kini adalah untuk memberi perhatian terhadap anak selain karier seni.

Terdahulu, pada penghujung Februari lalu dunia hiburan dikejutkan dengan pendedahan oleh Bella bahawa suaminya sekali lagi berlaku curang dengan pelakon Oktovia Manrose.

Sebelum itu pada Julai 2017, Aliff pernah mencetuskan kontroversi selepas curang dengan pelakon Afifah Nasir apabila kedua-duanya keluar ke sebuah pusat karaoke.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun sembilan bulan.

Ujarnya lagi, perceraian hanya akan menjadi pilihan terakhirnya andai berlaku sebarang kejadian tidak diingini dalam hubungan mereka pada masa depan.

Ikuti temu bual bersama penyanyi berusia 25 tahun itu ketika ditemui pada majlis Chari-Tea In Love With Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Bolehkah Bella kongsikan perkembangan terkini anda?

BELLA ASTILLAH: Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan meluncurkan single sulung ciptaan penyanyi Mark Adam. Cuma saya tidak mahu terburu-buru untuk melancarkannya kerana sekarang sedang sibuk menyiapkan tempahan kuih raya yang diusahakan sejak dua tahun lalu. Memandangkan saya hanya dibantu ibu dan adik-adik, jadi masa untuk melakukan kerja lain agak terhad. Insya-Allah dalam bulan Jun single tersebut akan dilancarkan.

Apakah kesudahan terhadap kemelut rumah tangga anda bersama Aliff?

Semua orang mahu tahu perihal ini. Jika saya jawabnya nanti ada yang mengatakan saya masih belum boleh melupakan kisah itu. Cuma bagi saya, perceraian bukan mudah untuk dilakukan. Orang kata, saya sudah ada jalan untuk menamatkan segalanya iaitu dengan perceraian. Tetapi, mana kalian tahu itu adalah perkara terbaik untuk kami terutamanya anak? Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana keutamaan saya ialah anak. Saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah kandung. Malah, dalam keluarga saya sendiri belum ada yang melalui episod perceraian. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan perkara tersebut. Andai berlaku sebarang perkara tidak diingini kemudian hari, perceraian adalah jalan terakhir yang akan saya pilih.

Bagaimanakah hubungan anda dengan Aliff buat masa ini?

Hidup saya berjalan seperti biasa. Sesekali ada juga berhubung dengannya menerusi panggilan video untuk anak. Anak sangat rapat dengannya. Setiap hari dia pasti akan bertanya tentang bapanya.

Apakah komen anda apabila terdapat pihak yang mencadangkan supaya kalian bercerai selepas Aliff didapati curang buat kali kedua?

Sejak dahulu saya pernah berkata, jika berkahwin lelaki itu akan menjadi suami pertama dan terakhir saya. Orang fikir perceraian adalah perkara main-main sedangkan ia sangatlah susah. Saya selalu menjadikan kedua-dua ibu bapa kami sebagai rujukan terbaik tentang bagaimana mereka boleh hidup bersama sehingga berpuluh-puluh tahun. Sebab itu saya cakap, kalau boleh saya mahu berkahwin sekali sahaja.

Bolehkah kongsikan apakah perasaan anda terhadap Aliff ketika ini?

Soalan ini sangat sukar untuk dijawab. Sebab saya sayangkan Ayden. Saya mahu dia membesar dengan bapanya sendiri bukan orang lain. Jujur dikatakan, saya masih mengambil masa untuk tahu apa perasaan sebenar terhadap Aliff. Pucuk pangkalnya, saya sayangkan masjid yang dibina ini sebab kami sudah ada zuriat bersama. Saya tidak benci atau marah kepada dia, tetapi untuk terus mengakui saya sudah kembali bahagia itu agak sukar. Buat masa ini, saya malas untuk fikirkan soal rumah tangga dan hanya menyerahkan kepada takdir. Saya juga sudah beberapa kali buat solat istikharah, tetapi apa yang boleh dikatakan, saya tawakal dengan perkara ini. Orang di luar boleh bercakap apa sahaja, tetapi keputusan terletak di tangan saya untuk menentukan segala-galanya.

Jadi, adakah kalian masih tinggal sebumbung?

Buat masa ini, kami masih belum tinggal sebumbung, namun tetap berhubung dan berjumpa sekali sekala demi anak. Memang ada perancangan untuk kembali tinggal bersama. Bagaimanapun, belum kepastian tentang perkara itu. Saya tiada masalah untuk tinggal bersama seperti biasa tetapi buat masa sekarang kami kerap bertemu di Singapura bersama keluarganya.