Lebih empat tahun bergelar isteri kedua kepada Datuk Red, tidak banyak perkongsian perihal seninya yang singgah ke pengetahuan peminat. Walhal, kalau diukur dari segi bakat, wanita bernama Adira itu diletakkan harapan untuk menggalas legasi penyanyi-penyanyi hebat wanita tempatan.

Tidak mahu lagi dihantui kontroversi yang melabel dirinya sebagai perosak rumah tangga wanita lain, pemilik nama sebenar, Siti Adira Suhaimi itu terus memandang ke hadapan. Baginya, apa yang sudah berlaku sebelum ini, biarlah berlalu.

Kehidupannya kini semakin mewangi dengan kurniaan dua zuriat iaitu Anggerik, 4, dan Asan yang kini berusia empat bulan. Berkaitan hubungan bersama Datuk Red pula, Adira lebih selesa untuk tidak berbicara terlalu terperinci tentang kisah rumah tangga.

Status rumah tangga

“Ada yang bertanya mengapa tidak banyak bergambar dengan suami di Instagram. Tiada kaitan kerana saya ingin fokus dengan kerjaya nyanyian sekarang.

“Soal rumah tangga bahagia atau tidak, itu hak saya untuk bercerita kepada orang ramai. Tipulah kalau saya cakap rumah tangga kami tidak diuji dengan permasalahan. Mesti ada namun buat masa sekarang, semuanya okey sahaja dan saya rasa tidak perlu bercerita lebih lanjut.

“Rumah tangga ada pasang dan surutnya. Saya tidak letak gambar dengan suami di Instagram pun jadi isu. Suami selalu tiada di sisi pun jadi isu. Biarlah orang ingin kata apa. Hak mereka untuk berkata-kata. Hak saya juga untuk tidak kongsi apa-apa,” ujar Adira ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran klip video Pujaan Hati di ibu negara baru-baru ini.

Dilihat dari segi gaya membutirkan bicara, seperti ada sesuatu yang disembunyikan Adira. Namun, menghormati pendekatannya untuk tidak meletakkan kontroversi yang pernah meranapkan reputasinya sebelum ini berulang, semua wakil media yang memaku diri di hadapannya, akur.

Benar, setiap perhubungan pasti ada pasang dan surutnya. Perkara itu diakui pelantun lagu Ku Ada Kamu itu. Sudah menghadam kedudukan dan statusnya sebagai isteri kedua, dia kian matang mendepani apa sahaja cabaran hidup mendatang.

“Saya tidak kisah dia tiada di sisi saya untuk menghadiri majlis seperti pelancaran klip video Pujaan Hati. Saya tahu dia sibuk dengan kerjanya dan kalau boleh saya tidak mahu dia terlalu menonjol seperti sebelum ini.

“Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang sebagai seorang isteri dan anak kepada Anggerik dan Asan. Umur semakin meningkat dan saya kira, saya juga harus bersikap matang menempuhi segala cabaran,” terang Adira, 28.

Hadapi kontroversi

Dijentik persoalan status dirinya sebagai isteri kedua yang menggariskan limitasi untuk sentiasa bersama suami, jawab Adira tegas: “Memang ada cabarannya. Isu tentang isteri kedua sudah lama berlaku dan sekarang saya dan suami sudah ada dua orang anak. Kalau boleh saya tidak mahu hal ini diperkatakan lagi. Tolak tepi hal rumah tangga dan saya hanya ingin hal kerjaya menjadi tumpuan peminat.”

Katanya lagi, dia sudah lali dengan kecaman sewaktu episod kontroversi tersebut membelenggu dirinya sebelum sah bergelar isteri kedua kepada Datuk Red beberapa tahun lalu.

“Saya akan mengelak untuk tidak lagi hidup dalam kontroversi. Apa yang sudah terjadi, saya tidak boleh undur dan saya hanya ingin fokus pada masa akan datang.

“Terutama apabila sudah ada anak, saya sudah tidak kisah tentang populariti atau kontroversi yang pernah melanda. Saya cuma mahu membesarkan anak dengan sempurna dan berikan mereka yang terbaik. Dengan itu, saya perlu terus menyanyi. Insya-Allah,” katanya.

Memasuki babak kerjaya nyanyian yang dilihat kembali bersinar dek penangan single Pujaan Hati, Adira amat bersyukur. Katanya, kejayaan yang dikecapi sekarang ini tidak akan berlaku tanpa penangan drama, Pujaan Hati Kanda.

Mengamati klip video berkenaan, timbul persoalan tentang imejnya yang bertudung serta status sebagai isteri orang apabila terdapat babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam video tersebut.

Tuah Pujaan Hati

Tegas Adira, dia hanya ingin menghidupkan jalan cerita klip video berkenaan dan bersedia andai menerima kecaman ramai.

“Saya tidak kisah jika babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam video muzik rasmi single Pujaan Hati akan dikecam netizen nanti.

“Saya memang tidak letak sebarang syarat pada pengarah sebelum penggambaran muzik video dimulakan pada Oktober lalu.

“Suami juga belum tengok klip video ini tetapi saya tahu dia okey sahaja. Tentang babak bersentuhan, biarlah orang ingin kecam, saya tidak kisah,” katanya.

“Saya juga sudah bersedia jika mendapat kecaman daripada netizen nanti,” katanya ketika pelancaran single dan klip video Pujaan Hati yang berlangsung di The Garden Malls, Kuala Lumpur baru-baru ini

Mengulas sambutan klip video lirik single Pujaan Hati yang mencecah hampir satu juta tontonan sejak dimuat naik menerusi YouTube Nova Music Videos pada 17 Disember lalu, Adira mengharapkan momentum kariernya kembali melonjak.

“Saya bersyukur kerana single Pujaan Hati yang digunakan sebagai lagu runut bunyi drama bersiri Pujaan Hati Kanda menjadi trending.

“Saya berharap single itu akan mengembalikan semula nama saya. Saya memang mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian pada tahun ini,” ujarnya.

Ditanya harapannya tentang lagu tersebut, tanpa berselindung, dia mahu diberi peluang dan kepercayaan bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Semua penyanyi di Malaysia ingin bertanding di pentas AJL. Begitu juga saya. Saya mengharapkan yang terbaik untuk single ini.

“Sekarang anak sudah semakin besar dan saya berjanji akan aktif dan tidak hilang dari radar lagi,” terang Adira menutup perbualan.

Kembali aktif ke kancah seni apabila single runut lagu bunyi drama sensasi, Pujaan Hati Kanda berjudul Pujaan Hati mendapat sambutan hebat, Adira berjanji untuk kembali fokus dan meninggalkan jauh kontroversi lampau.