Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris, 31, berkata, apa yang dikongsikan itu memang cara dirinya bergurau dengan isteri. 

"Kalau orang kenal saya, itu cara saya bergurau termasuk dengan isteri. Netizen bebas untuk cakap apa sahaja.

"Kalau orang di luar sana terguris hati, apa yang boleh saya katakan, saya tidak boleh puaskan hati semua orang," kata pelakon filem Paskal itu ketika ditemui Kosmo! Online pada acara pelantikan Haniz Zalikha sebagai duta Happikiddo. 

Tambah Hairul, dia menerima segala kritikan daripada netizen dengan hati yang terbuka. 

"Saya bahagia dengan hidup. Orang ingin cakap apa, silakan. Saya tidak boleh tutup mulut mereka. 

"Kalau netizen bagi saya duit belanja untuk saya keluarga, mungkin saya akan dengar cakap orang di luar sana," terang Hairul. 

Sementara itu, Hanis berkata, setiap orang mempunyai penerimaan masing-masing terhadap video tersebut. 

"Bagi saya, video itu hanya satu bentuk gurauan daripada suami. 

"Kadang-kadang, kita bergurau ada orang rasa tidak kelakar dan sebaliknya. Apapun, saya terima apa yang orang ingin kata," ujar Hanis atau nama lengkapnya, Hanis Zalikha Zainal Rashid, 28. 

Terdahulu, Hairul berkongsi sebuah video berdurasi 19 saat. Dalam video bersama beberapa orang lelaki itu, Hairul melontarkan dialog 'mahu buat anak ketiga' selepas selesai penggambaran filem. - K! ONLINE