Sememangnya tidak banyak filem yang menampilkan ikon superhero berbanding karya-karya dari luar. Atas kesedaran itulah, tercetusnya filem adiwira terbaharu berjudul Badang. Menariknya, taruhan karya arahan Prof. Datuk Dr. A. Razak Mohaideen itu boleh dikatakan merupakan sebuah karya yang boleh disifatkan sebagai eksperimentasi.

Ini kerana, filem yang menelan kos lebih RM2 juta itu menampilkan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri selaku teraju utama yang memegang watak sebagai Badang. Biarpun meletakkan individu bukan pelakon sebagai hero, filem tersebut turut mengetengahkan barisan nama besar lain seperti Fasha Sandha yang diangkat sebagai heroin dan pelakon berbakat, Fauzi Nawawi.

Bagi A. Razak sendiri, dia mengakui bukan mudah untuk mengambil individu yang tidak mempunyai pengalaman berlakon. Bahkan, dia sendiri menyifatkan pembikinan filem Badang antara naskhah yang memberi cabaran tersendiri kepadanya kerana perlu membentuk Aliff yang jelas berstatus kosong dalam lakonan.

Cabaran

“Orang di luar mungkin ada yang mendakwa ini merupakan filem yang ditaja oleh Datuk Seri Aliff. Bagaimanapun, hakikat sebenar, saya yang menawarkan dirinya untuk berlakon dalam filem arahan saya. Tiada kena mengena dengan tajaan, sebaliknya saya melihat bakat yang ada pada dirinya.

“Apabila saya mahu keluarkan filem adiwira ini, saya mencari seorang yang popular tetapi bukan dalam kalangan pelakon. Mungkin ada yang kata, tindakan saya ini agak berisiko kerana mengambil individu yang mempunyai karakter yang lemah lembut.

“Bagaimanapun, itulah kriteria yang saya mahukan sebenarnya. Ini kerana, dalam filem ini, Badang asalnya digambarkan memang daripada karakter seorang yang lemah orangnya, kemudian bertukar menjadi seorang adiwira,” kongsinya pada majlis pratonton filem tersebut baru-baru ini.

Katanya lagi, mengambil Aliff berlakon bukanlah satu tugas yang mudah kerana banyak yang perlu dipelajarinya.

“Bahkan, sebelum menjayakan filem ini, beliau kena menghadiri kelas lakonan selama tiga minggu untuk ubah karakter dirinya yang selama ini nampak lemah lembut kepada watak lelaki macho.

“Beliau sendiri banyak dimarahi ketika di set. Terpaksa berulang kali melakukan satu-satu babak. Ada pernah itu sehingga lebih 20 kali ulangan. Apapun, beliau mengingatkan saya kepada pengalaman masa lampau sewaktu saya mula-mula mahu mengarah, letih,” selorohnya yang memberitahu, Badang merupakan filem ke-40 arahannya.

Jelasnya lagi, judul filem Badang itu diambil sempena nama watak asal Aliff iaitu sebagai Bad. Bagaimanapun, garapan jalan cerita itu mengangkat kisah mitos anak buluh betung.

“Kita selalu mendengar cerita-cerita rakyat antaranya mitos anak buluh betung. Daripada situlah kita cuba kembangkan jalan ceritanya menerusi watak Bad. Jadi, secara tidak langsung kita dapat kembalikan semula cerita-cerita zaman kanak-kanak yang sering diceritakan,” katanya yang memberitahu filem tersebut menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar Selangor. Putrajaya dan Lembah Klang.

Sedia dikecam

Bagi pelakon utamanya sendiri, Aliff memberitahu, sebagai pendatang baharu, dia sedar lakonan dalam filem sulungnya itu mungkin ada yang kurang. Sungguhpun begitu, katanya, dia bersedia menerima segala kata-kata kecaman daripada penonton.

“Saya ini bukanlah seorang pelakon. Bahkan, saya sedar mungkin lakonan saya akan dikecam kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki.

“Gara-gara penglibatan dalam filem ini, saya terpaksa berehat daripada dunia bisnes seketika selama tiga bulan untuk memberikan tumpuan kepada lakonan dengan mengambil kelas bersama pelakon Elly Suriati.

Maklumlah, selama ini orang kenal saya dengan suara kepit, tetapi dalam filem ini kena berlakon jadi macho. Saya sendiri perlu belajar cara berjalan,” selorohnya.

Kongsinya lagi, antara momen yang paling sukar adalah apabila dirinya perlu melakonkan babak romantik bersama Fasha.

“Rasanya orang sudah maklum dengan karakter diri saya jika di luar. Suara saya ini pun selalu kepit. Apabila nak bawa watak lelaki yang menggoda wanita, memang tak pandai. Saya sendiri berasa diri ini kecil apabila digandingkan dengan Fasha yang cukup berbakat.

“Sampaikan saya pernah terdetik nak tarik diri apabila melihat pengarah tepuk dahi apabila perlu berulang kali melakonkan babak yang sama,” luahnya yang mengakui teruja untuk menunggu reaksi umum filem berdurasi selama 104 minit itu.

Dalam pada itu, bagi Fasha sendiri, dia melihat kerjasamanya bersama Aliff merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.

“Mula-mula beliau cuba jadi macho, tetapi lama-lama kembali kepada karakter asal. Sampaikan saya beritahu, jadi sahaja diri sendiri. Perkara itu nampak lebih natural dan menghiburkan.

“Apapun, saya harap cerita ini dapat menggamit kenangan kanak-kanak kepada naskhah ber­bentuk adiwira. Saya harap masyarakat di luar sana dapat menonton terlebih dahulu sebelum menghukum dengan kata-kata yang negatif,” luahnya yang memberitahu filem itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 15 Februari ini.