Kongsi pengurusnya, Andy, keadaan Shima atau Nor Ashima Ramli, 26, masih lemah dan dia kini sedang berehat sebelum dijangka kembali aktif pada hari esok.

“Shima akan tetap meneruskan perjuangan seperti biasa. Hari ini, dia hanya berehat dan bergantung kepada keadaannya esok, jika larat dia akan menyertai kelas vokal sebelum terbang ke Jakarta semula pada hari Rabu ini.

“Punca Shima rebah disebabkan kekurangan gula dalam badan dan terlalu penat. Tambahan pula dia mungkin mengalami sedikit tekanan lebih-lebih lagi Big Stage adalah sebuah pertandingan dan bukan seperti persembahan biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Bercakap mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyangka insiden rebah di atas pentas adalah sebagai gimik sahaja, kata Andy, Shima mempunyai surat perakuan doktor yang menyatakan dia benar-benar sakit dan bukan lakonan.

“Pada malam itu Shima dimasukkan dua botol air dan keluar pada pukul 4 pagi. Doktor memang sudah mengesahkan yang dia sedang sakit. Suhu badannya juga panas.

“Mujur hari ini Shima berehat dan tidak sempat untuk membaca komen-komen negatif netizen,” ujarnya.

Pada pentas Big Stage minggu hadapan, Baby Shima ditugaskan berduet bersama penyanyi Zizi Kiranan menerusi lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi. - K! ONLINE