Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 27, yang popular sebagai penyanyi dangdut di negara seberang memberitahu, dia tergerak hati membuat teguran tersebut selepas Aliff meminta pengikut Instagramnya memberi komen jujur dalam menilai lagu berkenaan.

Menurut Baby Shima, muzik dan melodi lagu berkenaan sudah cukup bagus namun sayangnya, vokal Aliff dirasakan seperti tidak sesuai dengan lagu bergenre dangdut tersebut.

Meskipun begitu, Baby Shima yang dihubungi Kosmo! semalam tidak menganggap dirinya sudah cukup hebat sebagai penyanyi, sebaliknya hanya mahu melihat penyanyi dari Malaysia diterima baik oleh peminat di Indonesia.

KOSMO!: Mengapakah Baby Shima membuat teguran berkenaan vokal Aliff Syukri secara terbuka dalam Instagram?

BABY SHIMA: Saya membuat teguran dalam ruangan komen Instagramnya selepas Aliff Syukri sendiri meminta pengikutnya memberi komen yang jujur berkenaan lagu baharunya.

Adakah anda terkejut selepas menerima reaksi negatif daripada Aliff Syukri berkenaan komen tersebut?

Saya memang terkejut kerana dia yang meminta komen jujur, tetapi tidak dapat menerima teguran. Saya hanya kasihankan dia kerana dikelilingi orang yang suka membodek dan memberi pujian tidak ikhlas.

Bagaimanapun Aliff telah mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan vokal anda gara-gara teguran tersebut?

Saya sedar bukanlah seorang penyanyi yang bagus dan masih baharu walaupun telah hampir dua tahun membina karier di Indonesia. Pada masa sama, masih banyak ilmu yang perlu dipelajari. Jika dia tidak dapat menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka, saya tidak kisah. Itu hak dia. Cuma untuk meneruskan kelangsungan karier dalam apa juga bidang sekali pun, kita harus sentiasa memperbaiki diri.

Adakah teguran dibuat kerana anda bimbang dengan imej penyanyi Malaysia di Indonesia?

Lagu tersebut dibuat untuk pasaran di Indonesia. Jadi, sebagai penyanyi Malaysia yang mencari rezeki di Indonesia, seboleh-bolehnya saya mahu karyawan kita diterima baik oleh peminat di sana. Saya mahu orang Indonesia memandang tinggi dengan bakat-bakat dari Malaysia. Bagaimanapun terpulang kepada peminat untuk membuat penilaian.

Apakah nasihat anda kepada golongan usahawan yang ingin bergelar penyanyi?

Berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa, setiap penyanyi perlu memasuki kelas vokal. Penyanyi yang memiliki vokal hebat pun masih menghadiri kelas vokal. Selain itu, harus memilih lagu dan genre yang bersesuaian dengan tahap vokal masing-masing.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu karier seni anda?

Saya bakal melancarkan single terbaharu berjudul Pura-Pura Bujang sekitar September ini di Malaysia. Selebihnya, saya masih berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia untuk memenuhi persembahan pentas.