Begitulah juga, berakhirnya riwayat hidup seorang figura seni tempatan yang dijemput Ilahi dalam keadaan yang didambakan banyak insan. Pulangnya dijemput dengan sopan oleh Malaikat Izrail sewaktu tidur sekitar tengah hari semalam. Begitu kesudahan hidup seorang lelaki yang pernah mengakui kealpaan diri namun mengakhiri kehidupannya mendakap rahsia sebuah husnul khatimah.

Azmil Mustapha, sepotong nama yang kekal harum sebagai anak wayang penuh kaliber. Sekitar tahun 1980-an, ketika nafasnya masih kencang bersulam darah muda yang menyalakan cinta seni dalam tubuh; senyuman lelaki yang terkenal dengan karakter Ali Setan itu melekat kemas dalam lipatan kenangan. Bahkan ketika pertemuan terakhir pada awal 2016 lalu, keramahan tawanya masih bersisa.

Pada waktu tersebut, Azmil berusia 63 tahun dan berita dirinya jatuh sakit sehingga dimasukkan ke Hospital Putrajaya menyita perhatian peminatnya. Kami berkunjung ke kediaman salah seorang adiknya di Sepang, Selangor untuk menziarah, sekali gus menulis perkembangan terkininya. Apa yang kemudian kami peroleh adalah sebuah ‘kisah biopik’ daripada anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu.

Tempoh dua tahun bergulir dan ia menjadi pertemuan terakhir kami sebelum Azmil dijemput Ilahi pada usia 65 tahun, 14 Februari lalu.

Figura itu juga yang sewaktu sesi pertemuan kami bersamanya asyik tersenyum. Manis sekali, malah telah mempesona kami seperti mana senyuman itulah yang menjadi igauan banyak peminat sewaktu Ali Setan berjaya menyihir penonton sekitar tahun 1980-an dahulu. Raut wajahnya juga kelihatan nakal, namun apabila beliau ‘membentangkan’ riwayat hidupnya, ia terisi penuh dengan pelbagai ilmu dan pengalaman yang tidak dipinjamkan kepada sembarangan orang.

Sesekali beliau mengimbas banyak hal manis sewaktu zaman popularnya dan bagaimana seorang bekas mahasiswa dari Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat itu mencuri hati khalayak dengan magis lakonannya yang bersahaja.

Hanya dengan secarik senyuman di bibirnya, lelaki berjanggut putih dengan persalinan juga serba putih itu cepat menangkap deria emosi, mengembalikan ingatan terhadap babak-babak nakal, romantis dan dramatik yang memang terhafal dalam kepala.

Rakaman daripada filem-filem seperti Mekanik, Suara Kekasih, Driving School dan tentunya Ali Setan yang sekali gus layak dianggap masterpiece bagi versi cinta kampus, secara automatik juga melayakkan Azmil digelar sebagai hero ikonik pada zamannya.

Kemasyhuran yang barangkali diwarisi daripada ayahnya, penulis skrip drama pentas dan novelis terkenal dengan nama pena Kala Dewata itu tidak pernah bersisa, bahkan masih mewangi dalam taman hidupnya yang kini melebihkan cinta hanya kepada Yang Maha Esa.

Tanpa berselindung, kemewahan kata pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-6 menerusi watak Ali Setan itu adalah ‘makanan segera anak seni’. Menjadi pelaku seni adalah jalan pintas untuk memperoleh kemewahan dan kemasyhuran dunia.

Namun sebagai manusia yang alpa dan berasa wang mampu membuatkan kehidupan seperti di atas awan, ‘helaian not kertas dengan cop beragam angka’ yang bertimbun boleh susut entah ke mana. Dalam tawa, beliau sendiri tidak sedar telah membelanjakan kewangannya yang disifatkan mengalir kepada hal yang sia-sia.

“Dahulu, saya pernah dapat imbuhan sehingga RM40,000 sebulan hasil lakonan. Duit sebanyak itu boleh habis sekelip mata dengan perkara-perkara merepek seperti beli televisyen baharu, hiasan kristal atau bawa anak-anak lepak di hotel padahal di rumah pun ada kolam renang. Sekarang, rezeki mungkin tidak semeriah dahulu tetapi lebih berkat,” jelas Azmil sambil menambah, zaman mudanya lebih dahsyat, lebih jahil berbanding apa yang dilalui anak-anaknya kini.

“Jadi, saya cuma bekalkan anak-anak ilmu agama dan nasihatkan mereka supaya jaga maruah diri,” luah bapa kepada lima cahaya mata daripada dua perkahwinan itu tenang.

Akui pengarah filem Kepala Angin itu juga, bukan sekadar pernah mewah, tetapi hidupnya pernah diuji dengan kisah cinta tidak kesampaian dan kemiskinan. Pernah beliau tidak mempunyai sumber kewangan untuk kelangsungan hidup namun Azmil menerimanya dengan berlapang dada.

Fitrah

Beliau mengawali kehidupannya dengan limpahan keasyikan dunia seni, namun pada hujung usianya lelaki itu lebih dikenali sebagai ustaz, bahkan mungkin tokoh agama yang memenuhkan rutin dengan bakti ceramah tentang moral dan hakikat di mana-mana.

Membawa memori bagaimana perkenalan dengan seorang pemandu teksi New York, Amerika Syarikat yang menghantarnya ke masjid sebagai titik penting penghijrahan beliau kini, Azmil memperincikan kisah lampau tersebut dengan impak senaskhah al-Quran berserta terjemahan bahasa Inggeris, dihadiahkan seorang hamba Allah kepadanya.

“Selepas baca terjemahan al-Quran tersebut, saya yang kosong ilmu agama mula menyedari tentang kehebatan isi kandungannya tetapi perubahan itu tidaklah drastik, balik dari AS saya masih buat kerja seni,” katanya yang terlibat sebagai penulis skrip bersama filem Ali Setan.

Kemudian, sewaktu mula mendekatkan diri dengan agama dan kerana sering mengikuti ceramah di masjid-masjid sekitar tahun 2005, Azmil secara kebetulan ditawarkan menjadi pemandu peribadi kepada penceramah bebas, Datuk Ustaz Md. Daud Che Ngah, kini pemilik syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.

Dari situ, beliau yang pernah membawa diri bersama empat anak dari pernikahan keduanya pada ketika itu ke Syria iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Alya Iman, Nur Amalia Batrisya dan Muhammad Bazli Zahfri mula bulat hati menyerahkan seluruh kehidupan ke jalan yang diredai Allah.

Tidak menolak dunia hiburan, tetapi untuk kembali bergelumang dengan corak hidup pelaku seni, tidak mahu diulanginya lagi. Beliau senang dengan kehidupan yang memberi fokus terhadap berkongsi ilmu agama yang pernah dipelajari.

“Saya tidak pernah bencikan dunia seni, ia bidang yang bukan sahaja diminati bahkan saya mendalaminya secara serius. Saya juga tidak hairan tentang populariti. Sejak kecil, saya menjadi tumpuan di sekolah mahupun di kolej. Begitu juga semasa jadi pelakon.

“Saya banyak terima tawaran dalam bidang seni tetapi saya tolak sebab saya tahu isi dan kerenah dunia hiburan. Saya takut terpesona lebih kepada imbuhan wang berbanding mesej yang hendak disampaikan,” katanya yang menceritakan bahawa bacaan al-Quran yang didengar dan dilihat dari kaca televisyen di kediamannya adalah titik awal yang membuat dirinya kembali tersedar tentang kejahilan diri.

Beberapa tahun sebelum riwayat hidupnya berakhir, Azmil kerap disapa sakit. Kesihatannya bagai gelombang di lautan, sesekali jatuh sakit namun graf kondisi tubuhnya tidak berada dalam pola yang baik.

Kesan daripada masalah sakit jantung dan paru-paru berair, salah satu nikmat hidup iaitu selera makan mula ditarik. Hal itu bagaimanapun bukan suatu perkara yang pelik buat pemegang watak Taufik dalam naskhah Suara Kekasih itu.

“Sebenarnya saya lebih senang semasa ditimpa ‘penyakit’ tiada selera makan dahulu. Selama hampir dua bulan juga tubuh saya menolak makanan. Segala makanan kegemaran selama ini dicuba tetapi masuk sahaja ke dalam mulut, ia terpaksa dikeluarkan, sikit pun tidak boleh ditelan. Lama-kelamaan saya rasa selesa, badan tidak berpeluh atau berbau walaupun saya lambat mandi. Saya tidak perlu makan, hanya minum air tetapi yang penting anak-anak semua makan seperti biasa,” cerita Azmil yang kembali berselera makan seperti biasa selepas itu.

Malah pada saat meniti hari-hari terakhir kehidupannya, lelaki yang menjadi idaman banyak wanita tetapi memilih kekal menduda itu masih ghairah meneruskan kariernya sebagai penceramah bebas. Beliau sendiri dijadualkan terlibat dengan sebuah ceramah yang telah dipersetujui pada 20 Februari depan.

Namun sebagai manusia biasa segala sesuatu yang dirancang hanya kekal sebagai rencana kerana sesungguhnya, seluruh kehidupan kita ini adalah milik abadi Allah yang Esa. Maka Azmil tidak mampu melaksanakan perjanjian terakhirnya itu tetapi kami percaya, beliau cukup ingat betapa usianya sedang menuju kematian.

Kelmarin, persalinan serba putih, jubah dan serban yang seperti menjadi seragam harian beliau akhirnya berbalut kafan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam ke negeri abadi.

Duka masih menyelimuti dunia seni tanah air, tetapi bersemadilah dengan tenang Mohd. Azmil Mustapha dan tinggalkan kami dengan obor inspirasi dan kebaikan yang pernah ditebarkan agar sentiasa ada doa yang mengharumkan kehidupanmu di sana.

Pesona yang pernah ditebarkan seorang hamba Allah bernama Azmil Mustapha kini 
dibawa pergi bersamanya saat pulang ke Rahmatullah semalam, pada tanggal 14 Februari.