Penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu berkata, perancangan untuk melakukan sidang akhbar di dalam pesawat sudah lama diimpikan dan ia terlaksana menerusi penerbangan AirAsia AK5106 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Kota Kinabalu, Sabah pukul 9.30 pagi tadi.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Akhirnya doa dan impian saya untuk lakukan sidang akhbar bersama rakan media di dalam pesawat tercapai.

“Sidang akhbar tersebut adalah sebagai simbolik kepada konsert Queen of Soul yang bakal diadakan di Teater Shah Alam, Selangor pada 29 Jun nanti,” katanya pada sidang akhbar tersebut.

Terdahulu, juara Bintang RTM 2001 dan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) itu turut berkesempatan menghiburkan semua penumpang menerusi dua buah lagu sambil ditemani pemain gitar yang juga komposer terkenal, Korie Aminuddin.

Berkongsi lanjut mengenai konsert itu, persembahan Azharina bakal diiringi pemuzik orkestra, koir dan pengarah muzik berpengalaman dan turut melibatkan penyanyi luar yang amat dikenali.

“Sebanyak 22 lagu termasuk lagu medley akan saya bawakan khas untuk semua peminat yang tidak pernah jemu dan sentiasa menyokong kerjaya saya’” ujarnya.

Tiket konsert masih boleh didapati di laman web www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C). - K! ONLINE