Azhan yang popular dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama Nur menawan EBC bersama-sama 26 pendaki lain termasuk lima pengamal media dan enam pendaki dari Brunei.

Selain EBC, sebahagian pendaki turut menawan puncak Gunung Kala Patthar setinggi 5,550m dari aras laut.

“Saya anggap kejayaan ini sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Ini adalah satu pencapaian yang besar dalam hidup saya kerana saya tidak pernah berada di ketinggian melebihi 5,000 meter dari aras laut.

“Saya hampir mengalah ketika dalam perjalanan menuju ke Lobuche dan Gorak Shep sebelum berjaya menawan Gunung Kala Phattar dan EBC.

“Saya mengalami simptom-simptom awal penyakit akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS) seperti badan menjadi lemah dan kepala berasa pening.

“Namun, saya gunakan segala sisa-sisa tenaga yang ada dan kuatkan mental saya untuk melawan penyakit itu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan sependakian yang banyak memberikan sokongan moral dan mental untuk saya merealisasikan impian ini” katanya.

Azhan berkata, kejayaan ini juga diharap menjadi pendorong buat rakan-rakan lain yang berminat dengan dunia pendakian untuk meneroka lebih banyak lagi keindahan puncak dunia seterusnya membawa nama Malaysia di mata dunia.

Selain misi mengibarkan jalur gemilang pendakian ini juga adalah sebahagian misi promosi telefilem istimewa berjudul Rise to Power yang merupakan prekuel daripada siri KL Gangster Underworld siaran iflix. Naskhah berkenaan bakal disiarkan menerusi iflix secara percuma bermula 19 september 2019 ini.

Azhan juga berkata, kejayaan ini cukup bermakna kerana dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Ekspedisi pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) yang diketuai Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkenaan sekali gus menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan 12 meter lebar serta berat 11 kilogram di EBC.

Mohd Fakhrul yang juga Pegawai Bomba dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bahru berkata, antara cabaran utama yang dihadapi pendaki ialah keadaan cuaca dan suhu sehingga 0 darjah Celsius serta risiko diserang AMS.

“Dua hari sebelum sampai ke EBC iaitu di Pheriche dan Lobuche, beberapa pendaki mula menunjukkan simptom-simptom awal diserang AMS seperti sakit dan pening kepala, tiada selera makan dan badan menjadi lemah.

“Namun, kami berjaya melawan situasi itu dengan memperbanyakkan minum air, makan untuk mendapatkan semula tenaga dan memakai pakaian sesuai bagi melindungi badan daripada terdedah kepada cuaca terlampau sejuk,” katanya. - K! ONLINE